Isnin, 15 Oktober 2012

Warga Jerman Ditahan Kerana Cuba Seludup Dadah RM2.2j

Schweikert dikawal oleh seorang pegawai kastam di Mataram semalam

MATARAM, Indonesia - Seorang warga Jerman ditahan di sebuah resort di Lombok kerana cuba menyeludup 3.7 kilogram (kg) dadah jenis kanabis yang bernilai kira-kira AS$739,000 (RM2.2 juta), kata beberapa pegawai semalam.

Seorang ketua pegawai kastam wilayah, Listrijono memberitahu, warga Jerman itu, Rolf Oskar Josef Schweikert, 57, ditahan selepas dia mendarat di sebuah lapangan terbang di Lombok kelmarin. Dia menaiki pesawat penumpang Silk Air dari Singapura.

"Kami menahan lagi seorang warga asing yang cuba menyeludup dadah ke Pulau Lombok," katanya.

Listrijono berkata, dadah itu disembunyikan di dalam beg pakaiannya.

"Suspek mungkin dikenakan hukuman mati berdasarkan undang-undang Indonesia," kata seorang ketua detektif polis wilayah, Ricky Simon Paays.

Pada Khamis lalu, pihak berkuasa Indonesia memberkas seorang wanita warga Afrika Selatan kerana cuba menyeludup dadah methamphetamine seberat 2.6kg bernilai kira-kira AS$500,000 (RM1.5 juta). - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan