Isnin, 15 Oktober 2012

Rumah Usang Lau Akhirnya Runtuh

Lau berusaha memperbaiki beberapa bahagian rumahnya

SARIKEI: Kerisauan seorang warga emas Lau King Ung, 70, bahawa rumah usangnya akan rebah suatu hari nanti, akhirnya menjadi kenyataan apabila ia runtuh beberapa hari lalu.

Rumah usang itu didiami Lau bersama isteri dan tiga anak kecil berusia enam, lima dan tiga tahun sejak 1968 lagi dan terletak berhampiran Se­kolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Dok di Jalan Pantu di sini.

Kisah penderitaan Lau seke­luarga sebelum ini pernah disiarkan oleh akhbar Utusan Borneo melalui ruangan Hori­zon bulan lepas.

Sejak itu, pelbagai agensi termasuk wakil daripada jaba­tan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang menziarahi Lau di kediaman­nya untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Namun kini, Lau dan kelu­arganya buntu selepas rumah usang yang menjadi tempat mereka berteduh daripada hujan dan panahan mentari selama ini runtuh selepas struktur kayu yang menyokong bahagian atap patah.

Menurut Lau, ketika kejadi­an hanya dia dan anak-anaknya berada di rumah sementara isterinya turun bekerja.

“Saya amat bersyukur kera­na tiada insiden buruk berlaku kepada anak-anak saya seka­lipun kini telah hilang tempat berteduh.

“Buat sementara waktu kami terpaksa berteduh di bahagian rumah ini yang kurang terje­jas,” jelas Lau ketika ditemui pemberita, semalam.

Tambahnya, dia sedaya upaya akan memperbaiki kero­sakan rumah tersebut sekalipun menyedari dirinya mengalami masalah kesihatan. - UTUSAN BORNEO


Tiada ulasan:

Catat Ulasan