Rabu, 17 Oktober 2012

Hukuman Berat Perogol Wajar


MIRI: Pindaan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah dilihat satu langkah tepat menyelaraskan hukuman setimpal ke atas kesalahan perogol kanak-kanak bawah 16 tahun.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk meminda Seksyen 294 bagi menangani kes-kes rogol bawah umur yang kian berleluasa di negara ini ketika ini.

“Melalui seksyen ini, pesalah tidak akan terlepas daripada hukuman berat sebaliknya perogol terbabit perlu dikenakan tindakan lebih berat sebagai teladan dan pengajaran kepada orang lain,” katanya di sini semalam.

Menurutnya kesalahan merogol kanak-kanak bawah umur 16 tahun dianggap satu kesalahan yang serius dan pesalahnya tidak boleh dilepaskan dengan hukuman ringan.

“Pindaan itu dalam kata lain tidak akan melepaskan mana-mana perogol termasuk yang baharu pertama kali melakukannya, sebaliknya mereka terus dikenakan hukuman berat tanpa ragu-ragu,” jelasnya.

Wan Zain menarik perhatian, perogol yang terbukti bersalah wajib dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya 15 hingga 20 tahun atau hukuman sebat tidak lebih 10 kali sebatan.

“Hukuman yang berat wajar dikenakan ke atas perogol, malah bon jaminan berkelakuan baik atas budi bicara hakim perlu dihapuskan segera bagi memberi pengajaran kepada pesalah,” tegasnya.

Beliau menambah jika pindaan ini tidak dibuat segera, maka masalah rogol akan bertambah serius dan boleh mengancam keselamatan gadis bawah umur di negara ini.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan bahawa seksyen tersebut dipinda pada Persidangan Parlimen akan datang.

Dalam rekod Jabatan Peguam Negara, sejumlah 5,976 kes rogol bawah umur dibicarakan di mahkamah sejak 2007 hingga Ogos 2012.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 5,119 kes merupakan pertuduhan pertama dan selebihnya adalah pertuduhan berulang.

“Daripada 5,119 orang dituduh itu, sejumlah 1,631 disabitkan kesalahan manakala 327 dilepaskan dan dibebaskan selepas tamat perbicaraan dan 446 telah dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan