Selasa, 16 Oktober 2012

Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak Tahan 27 Warga Asing

Gambar Hiasan

KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak menangkap seramai 27 warga asing, Sabtu lepas kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Kesemua 22 warga Indonesia dan lima warga Myanmar terbabit ditahan pada operasi penguatkuasaan di bawah Program 6P yang dilakukan di tiga lokasi di kawasan Kuching, Matang dan Samarahan.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, dua tapak projek pembinaan dan sebuah kilang perkayuan telah diperiksa dalam operasi tersebut melibatkan 60 anggota termasuk 12 anggota RELA dan dua pegawai Jabatan Pendaftaran Negara.

Daripada 90 orang yang diperiksa, 27 orang warga asing telah ditangkap dan kesemua mereka ditahan untuk tujuan siasatan dan dihantar ke depot sesuai dengan peruntukan di bawah akta yang sama.

Susulan penahanan itu, jabatan akan meneruskan Operasi Penguatkuasaan termasuk di bawah Program 6P di seluruh bahagian di Sarawak.

Operasi yang dijalankan akan melibatkan agensi-agensi lain seperti polis, RELA, Jabatan Pendaftaran Negara serta pelbagai agensi lain yang berkaitan.

Setakat 14 Oktober 2012, Operasi Penguatkuasaan di bawah Program 6P di Sarawak telah menangkap 580 warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Filipina, Bangladesh, China, Myanmar, Thailand dan sebagainya.

Dalam pada itu, seramai lima warganegara Malaysia yang disyaki sebagai majikan atau sebagai pemberi perlindungan kepada PATI telah ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan