Selasa, 16 Oktober 2012

Kecurian Elektrik Di Sarikei Serius

Gambar Hiasan

SARIKEI: Syarikat SESCO Berhad (SESCO) telah mencatat kira-kira 20 peratus kes ubah suai meter dan curi elektrik di bahagian ini sehingga kini.

Jurucakap SESC0 Bahagian Sarikei yang dihubungi oleh pemberita semalam, memberitahu bahawa peratusan kes tersebut meliputi kawasan Sarikei, Bintangor, Tanjung Manis dan Belawai.

“Sehubungan masalah terbabit, pihak SESCO bermula hari ini (semalam) hingga Jumaat ini akan melancarkan operasi pemeriksaan di beberapa tempat tertentu berdasarkan laporan yang kami terima daripada orang awam dan pemantauan yang telah kami lakukan selama ini untuk membanteras masalah terbabit.

“Sebanyak 13 pasukan telah ditubuhkan oleh pihak kami untuk membuat pemeriksaan di kawasan terbabit dan kami berharap dengan melakukan operasi seperti ini mampu mengurangkan masalah tersebut daripada terus berlaku,” katanya.

Menurutnya, orang ramai boleh meminta pegawai SESCO menunjukkan kad kerja mereka sebelum membenarkan mereka membuat pemeriksaan, jika mereka mempunyai keraguan.

“Mereka yang enggan membenarkan pegawai membuat pemeriksaan boleh dikenakan denda RM5,000 atau dijatuhi hukuman penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. “Selain memeriksa meter, usaha pihak SESCO yang membuat pemeriksaan ini juga adalah untuk memastikan pendawaian tersebut selamat,” katanya.

Jurucakap itu menambah, meter yang sudah diubah suai berisiko terbakar dan ia amat berbahaya kepada penghuni rumah berkenaan.

Sementara itu katanya, mereka yang didapati bersalah mencuri elektrik boleh dikenakan denda hingga RM100,000 atau dipenjara selama lima tahun atau kedua-duanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan