Selasa, 23 Oktober 2012

Mangsa Bunuh Dipercayai Diperdaya

Mun, Zainan dan Nasrul ketika mengadakan sidang media di Miri

MIRI: Polis Miri percaya mangsa bunuh, Undang Dana, 84, mengenali suspek yang kemudian memperdayakan mangsa agar membuka pintu bagi membolehkan­nya masuk dan seterusnya merompak dan membunuh mangsa. 

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Mun Kock Keong ber­kata ini kerana tiada terdapat sebarang kesan pecah masuk atau umpilan pada bahagian pintu utama rumah mangsa.

Sedangkan katanya, ketika anak mangsa dan isterinya keluar rumah, pintu telah dikunci dari arah dalam oleh mangsa yang ketika itu tinggal berseorangan.

“Kami tidak menolak mo­tif kejadian adalah rompak dan bunuh memandangkan beberapa barang kemas yang dipakai mangsa dan enam unit telefon bimbit milik ahli keluarganya serta sebuah beg milik mangsa yang kes­emuanya bernilai RM7,000 turut dilarikan penjenayah terbabit.

“Kes diklasifikasikan se­bagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kes­alahan, seseorang penjenayah itu boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” ujar beliau lanjut.

Mun memberitahu demi­kian pada sidang akhbar yang diadakan di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini petang semalam.

Hadir sama pada sidang me­dia itu ialah pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden (ASP) Zainan Azili Abdul Latiff dan Inspektor Nasrul Hadi Jahat.

Dalam pada itu menurut beliau, polis percaya penje­nayah terbabit turut bersen­jatakan pisau berdasarkan kesan luka yang terdapat pada bahagian badan mangsa.

Selain itu, mangsa juga dipercayai cuba melawan untuk mempertahankan diri hingga menyebabkannya mengalami kecederaan di beberapa bahagian lain sep­erti mata sebelah kanan, jari kanan dan jari hantu sebelah kiri turut putus.

“Hasil siasatan awal yang dilakukan di tempat kejadian berjaya menemui beberapa kesan cap jari dan kami akan berusaha menimbulkan cap jari itu untuk dijadikan petunjuk untuk mengesan suspek kes rompak dan bunuh terbabit,” tegasnya.

Beliau turut sambil mem­beritahu bahawa polis akan melakukan siasatan daripada segenap aspek untuk menge­san suspek dan merampas barang kes termasuk senjata yang digunakan dalam kes tersebut.

Sehubungan itu, Mun menggesa orang awam teru­tama jiran-jiran yang tinggal bersebelahan rumah mangsa sekiranya ada melihat orang yang mencurigakan pada hari kejadian agar tampil memberi maklumat kepada polis bagi membantu menyelesaikan siasatan kes tersebut.

Justeru katanya kepada sesiapa yang mengetahui atau mempunyai maklu­mat berhubung kes itu, bolehlah menghubungi ASP Zainan melalui talian 01112099878.

Dalam kejadian itu, Un­dang yang juga ibu kepada seorang pegawai polis ber­pangkat sarjan ditemui mati di ruang tamu kedua oleh menantunya yang baharu pulang dari membeli-belah dan menziarahi rumah sau­dara mereka.

Ketika ditemui, mangsa yang sudah tidak bernyawa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di rumah tamu tersebut. Manakala barangan lain dalam rumah tersebut tidak diusik dan dalam keadaan baik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan