Selasa, 23 Oktober 2012

1,679 Peserta Sertai Acara Renang Rentas Pelabuhan

Beberapa perenang terjun ke dalam laut untuk mengambil bahagian

HONG KONG - Seramai 1,679 peserta merenangi laut bergelora dalam perlumbaan renang Pelabuhan Victoria di sini kelmarin.

Peminat sukan renang berusia antara 12 hingga 78 tahun menyertai acara sejauh 1.5 kilometer itu yang kembali diadakan tahun lalu selepas digantung selama 33 tahun.

Mereka berenang merentasi Semenanjung Kowloon di timur pulau ini menuju Pulau Hong Kong yang berlatar belakang bangunan-bangunan pencakar langit.

Pemenang tahun lalu, Ling Tin-yu yang berusia 19 tahun mempertahankan kejuaraannya dengan memenangi perlumbaan itu dengan catatan masa 16 minit dan 57 saat.

"Selama lebih 70 tahun, perlumbaan merentasi pelabuhan merupakan antara acara paling terkenal di Hong Kong," kata Persatuan Perenang Amatur Hong Kong (HKASA) yang menganjurkan acara berkenaan.

Perlumbaan tahunan itu kembali diadakan pada tahun lalu ekoran permintaan orang ramai. Ia menjadi acara tradisi yang menarik penyertaan beratus-ratus perenang dan kehadiran ribuan penonton sejak 1906.

Acara berkenaan dimansuhkan pada 1978 berikutan kualiti air laut yang semakin tercemar. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan