Khamis, 29 November 2012

Lelaki Tempatan Di Hukum Gantung


KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini kelmarin mengekalkan hukuman gantung mandatori terhadap seorang lelaki tempatan atas kesalahan membunuh seorang lelaki, pada lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Wahab Patali, Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof, dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk David Wong Dak Wah, sebulat suara mengenepikan rayuan Lee Fook, 42, atas sabitan.

Ketiga-tiga hakim berkenaan menetapkan keputusan itu, selepas mendengar hujah daripada peguam Mohd Fauzi Formusa dan Timbalan Pendakwaraya Siti Rafidah Zainuddin.

Mahkamah berpendapat tiada sebab untuk menggangu keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dan hukuman dikekalkan.

Pada 24 Febuari 2010, perayu dijatuhkan hukuman gantung mandatori selepas didapati bersalah membunuh Lam Ah Sang @Foo Ah Sang, 51, pada 24 Julai 2008 antara jam 4 hingga 5 petang, di taman rekreasi Bambangan, Kg. Madsiang, Jalan Tambunan, Penampang.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori.

Terdahulu, Mohd Fauzi, dalam hujahnya berkata sebelum perayu berjumpa dengan si mati, dia telah mengambil dadah dan alkohol secara berlebihan.

“Akibat daripada itu, perayu dalam keadaan separa sedar dan mengalami halusinasi dan tidak seperti manusia yang normal,” katanya.

Jelasnya lagi, perayu tiada niat untuk membunuh si mati, kerana ketika dia berjumpa dengan si mati, si mati cuba untuk menumbuknya, namun dia cuba mempertahankan dirinya.

Oleh itu, Mohd Fauzi memohon agar seksyen anak guamnya dikurangkan kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian.

Namun, Siti berkata hakim Mahkamah Tinggi adalah tidak silap dalam menjatuhkan hukuman itu terhadap perayu.

“Daripada keterangan perayu, dia mengambil dadah dan arak secara sukarela dan tidak disebabkan oleh orang lain. Oleh itu, tidak mematuhi prasyarat Seksyen 85 (2) Kanun Keseksaan.

“Hakim telah mengambil kira fakta dan perayu sebenarnya tahu perbuatannya dan untuk mempertahankan diri adalah tidak terpakai,” katanya dan menambah, perayu tahu dan sedar ketika membunuh si mati.

Tambahnya, perayu telah menghayun parang dan terkena pada kaki si mati dan kali kedua pula terkena pada leher si mati.

“Perayu sendiri yang menyimpan parang di ruang menyimpan barang kereta selepas membunuh si mati, lalu membawa pulang ke rumah,” katanya dan perayu turut mengugut PW9 agar tidak memberitahu orang mengenai kejadian itu atau menerima nasib yang sama.

Siti menegaskan pembelaan tidak waras pada waktu kejadian adalah tidak terpakai dan memohon agar rayuan perayu ditolak oleh mahkmah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan