Khamis, 22 November 2012

Letupan Bas Di Tel Aviv

Pakar bom memeriksa bahagian bawah bas yang meletup di Tel Aviv

TEL AVIV, Israel – Sebutir bom yang diletakkan di dalam sebuah bas meletup berhampiran ibu pejabat tentera di sini tengah hari semalam menyebabkan 17 orang cedera.

Kejadian terbaharu itu dilihat merumitkan usaha gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas di Genting Gaza.

Serangan tersebut berlaku ketika Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton berulang-alik antara Baitulmuqaddis dan Tebing Barat untuk berusaha mencapai satu perjanjian damai terhadap konflik Asia Barat itu yang masuk hari kelapan semalam.

Setakat ini, seramai 130 orang rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak disahkan terbunuh dalam serangan bertalu-talu oleh rejim Zionis.

Lima rakyat Israel turut dilaporkan terbunuh akibat terkena bedilan roket pejuang Hamas yang dilancarkan ke selatan Israel.

Sementara itu, Washington segera mengutuk serangan bom itu yang disifatkan akan melemahkan usaha damai dalam konflik Israel-Gaza.

“Serangan terhadap orang awam Israel yang tidak bersalah adalah keterlaluan,” kata White House dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Clinton dilaporkan tiba di ibu kota Mesir, Kaherah untuk menemui Presiden Mohammed Morsi bagi membincangkan usaha gencatan senjata bagi mengakhiri konflik di Gaza.

Serangan udara ke atas Gaza oleh tentera Israel bermula pada 14 November lalu mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.

Selain menggunakan pesawat pejuang untuk membedil Gaza, tentera Israel turut menggunakan meriam untuk menyerang beberapa kedudukan penting pejuang Hamas.

Dalam perkembangan lain, pemerintah Iran telah menghantar bantuan ketenteraan kepada pejuang Hamas, kata speaker Parlimen semalam.

“Kami berbangga dapat mempertahan penduduk Palestin dan Hamas dan bantuan kami meliputi kewangan dan ketenteraan,” kata Ali Larijani di dalam laman web rasmi Parlimen negara itu. – Agensi


save gaza 1 Banner


Tiada ulasan:

Catat Ulasan