Jumaat, 23 November 2012

Pindah Buaya Dari Zon Bebas Buaya


KUCHING: Pasukan Bertindak Haiwan Liar Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah memulakan kerja-kerja memindahkan buaya dari kawasan Zon Bebas Buaya bagi meminimumkan serangan terhadap manusia.

Pengarah Urusan SFC Datu Ali Yu-sop berkata, di bawah Pelan Pengurusan Strategik Buaya yang diluluskan kerajaan negeri baru-baru ini, zon berkenaan merupakan sungai-sungai yang kerap digunakan orang ramai.

Pada 7 November lalu, pasukan itu berjaya menangkap seekor buaya betina di Kampung Selang, berhampiran rumah Yang di-Pertua Negeri di Matang.

“Kita meminta penduduk di kawasan itu agar lebih berwaspada ketika berada di sungai,” katanya. Setakat ini, 10 ekor buaya telah ditempatkan di Pusat Hidupan Liar Matang.

Buaya seberat kira-kira 90 kilogram dengan panjang kira-kira tiga meter itu merupakan antara lima ekor buaya yang dikesan di kawasan tersebut.

Menurut kenyataan media oleh Sarawak Forestry Corporation semalam, reptilia berkenaan kini ditempatkan di Pusat Hidupan Liar Matang.

Ali menerusi kenyataan itu berkata, pihaknya percaya masih banyak buaya menjadikan kawasan tersebut sebagai habitat. Buaya merupakan haiwan terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Haiwan Liar 1998.

Denda maksimum RM10,000 dan setahun penjara terhadap mereka yang didapati bersalah memburu, membunuh, menyimpan, menjual atau memakan haiwan terlindung di Sarawak.

Pada tahun ini, Sarawak mencatatkan tujuh serangan buaya dengan tiga nyawa terkorban.

“Pasukan kita akan menjalankan kajian terhadap buaya di sungai-sungai utama bagi menentukan populasi buaya,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan