Khamis, 22 November 2012

Kutip Derma Bantu Rakyat Palestin

Sebahagian daripada artis yang terlibat

KUALA LUMPUR – Kira-kira 20 orang artis berkumpul di hadapan pusat beli-belah Pavilion, Bukit Bintang di sini semalam bagi mengutip dana untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat serangan rejim Zionis.

Semua hasil kutipan dana dari pukul 4.30 hingga 6.30 petang yang berjumlah kira-kira RM10,000 itu akan disalurkan kepada Badan Aman Palestin.

Antara yang hadir menjayakan program anjuran Usrah Fitrah dengan sokongan Tabung Aman Palestin itu ialah Irma Hasmie, Yatt Hamzah, Heliza Helmi, Zoey Rahman, Farhan AF, Siti Nordiana, Ayu Damit, Iqram Dinzly dan personaliti TV, Farah Deeba.

Irma yang juga Penolong Pengerusi Usrah Fitrah memberitahu, rancangan untuk mengadakan kutipan dana itu diputuskan dua hari lalu.

“Kami hanya menguar-uarkan cadangan ini menerusi laman Twitter dan Facebook. Tidak sangka pula ramai rakan artis memberi sokongan,” ujarnya.

Katanya, ia langkah permulaan bagi golongan artis melakukan kerja amal selain bercadang mengadakan aktiviti lain seperti solat hajat.

“Selepas ini, kami merancang mengadakan solat hajat perdana dan solat hajat selepas waktu Jumaat di beberapa masjid,” tambahnya.


save gaza 2 Banner


Tiada ulasan:

Catat Ulasan