SANDAKAN: Seorang kerani yang trauma akibat ditetak sebanyak tiga kali oleh buruh ladang yang mengamuk di Ladang Unisco, Desa 2, Kinabatangan Selasa lalu, menceritakan detik cemas ketika kejadian itu.
Mangsa, Ledwina Peter, 24, ketika ditemui di wad wanita Hospital Duchess of Kent (HDOK), di sini kelmarin, menyatakan masih trauma dengan kejadian itu.
“Saya trauma selepas ditetak dengan parang. Setiap kali mahu melelapkan mata, saya terbayang kejadian ditetak tiga kali oleh buruh ladang yang mengamuk,” katanya.
Ledwina yang berasal dari Kampung Maukab, Ranau berkata ini adalah kali pertama beliau berdepan detik cemas seperti itu.
Menurutnya, ketika kejadian, dia yang berada paling hampir dengan suspek cuba melarikan diri ketika melihat lelaki berkenaan mengeluarkan parang, bagaimanapun ditetak sebelum sempat berbuat apa-apa.
“Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana bimbang kejadian seperti ini akan berulang,” katanya yang mengalami cedera di tengkuk, bahu dan belakang.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi Selasa lalu, suspek Yusri Kassim, 27, dipercayai mengamuk ekoran berselisih faham dengan rakan sekerja ketika sesi taklimat pagi di kawasan ladang berkenaan.
Suspek yang hanya memiliki pasport itu berjaya ditenangkan dan dibawa masuk ke dalam pejabat, bagaimanapun mengamuk kembali dan menetak mangsa sebanyak tiga kali.
Selepas itu, suspek melarikan diri ke rumah pekerja dan turut mengamuk serta mengugut pekerja lain di kawasan itu.
Anggota dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Tomanggong tiba dan cuba menenangkan dan menangkap suspek. Namun dia enggan menyerah diri, malah menyerang polis dengan parang, hingga polis terpaksa melepaskan dua das tembakan.
Selepas itu, suspek masih lagi enggan menyerah diri dan terus menyerang polis. Anggota polis kemudian melepaskan satu lagi das tembakan yang kena lutut suspek.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Superintendan Martin Lugu memberitahu suspek ditahan di Hospital Duchess of Kent untuk menerima rawatan lanjut berikutan kecederaan yang dialaminya.
Beliau turut memberi peringatan kepada syarikat perladangan khususnya yang terletak jauh daripada balai polis agar sentiasa memantau keadaan pekerja mereka bagi mengelak kejadian seperti itu berulang.
siapa2 kena tetak pun pasti trauma..alhamdullillah masih berpeluang utk hidup.
BalasPadamyalah...pengalaman yg tak dapat dilupakan seumur hidup bagi sesiapa yang pernah mengalaminya...
Padam