Jumaat, 30 November 2012

Penyerang Awam Dicekup

Senjata tajam antara yang dirampas dalam serangan di Bintulu

BINTULU: Empat lelaki berumur 21 hingga 44 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian serangan di tempat awam diberkas polis bersama rampasan beberapa senjata tajam, awal pagi kelmarin.

Suspek-suspek diberkas selepas polis menerima laporan pada jam 12.40 pagi semalam daripada seorang mangsa dalam serangan itu.

Mangsa bersama beberapa orang rakannya difahamkan hendak memasuki pusat hiburan di sini namun tidak semena-mena dihalang oleh seorang lelaki yang bertindak memanggil rakan-rakannya sambil mengancam akan menyerang mereka.

Berikutan itu, mangsa dan rakannya beredar dari tempat itu menaiki tiga buah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux berwarna putih.

Bagaimanapun, mangsa dan rakannya dikejar oleh kumpulan lelaki terbabit yang menaiki beberapa buah kereta sehingga ke tanah perkuburan Cina berdekatan premis makanan SEDC di sini.

Kereta mangsa kemudiannya dihalang dan diberhentikan, sebelum mereka diserang oleh suspek dengan senjata tajam.

Mangsa dan rakan-rakannya cuba melarikan diri dan meninggalkan kenderaan mereka di kawasan tanah perkubuhan itu, namun dalam cubaan itu berlaku pergelutan sehingga mangsa mengalami kecederaan di tubuh dan tangan.

Manakala, kenderaan mangsa dan rakan-rakannya telah dirosakkan termasuk cermin bahagian tepi dan belakang kereta dipecahkan.

Bercakap pada sidang media semalam, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Madang Usat berkata, hasil maklumat yang diterima, sepasukan polis yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bintulu, ASP Awang Zamain Awang Jabai melancarkan gerakan memburu suspek yang membawa kepada penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux berwarna hitam di Parkcity Commercial Centre.

“Hasil pemeriksaan, empat lelaki di dalam kenderaan itu telah diberkas dan beberapa barang kes ditemui iaitu senjata ‘kwang tau,’ pemukul bola lisut, lampu sorot kenderaan yang kemungkinan terjatuh dari ken- deraan, bampar kereta, senjata tajam bentuk T serta enam telefon bimbit suspek,” ujarnya.

Katanya, empat suspek telah di-tahan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan yang sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan denda dan penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ujarnya, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 427 melakukan perbuatan khianat dan Seksyen 6(1)c Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Tiga mangsa yang mengalami kecederaan ringan dirawat sebagai pesakit luar di hospital di sini,” kata-nya sambil menambah pihaknya belum pasti jumlah mangsa yang terlibat.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan polis dan empat suspek telah ditahan reman dua hari hingga esok.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan