KOTA SAMARAHAN: Gara-gara berselisih faham dengan teman lelaki, seorang gadis sanggup mereka cerita dengan mendakwa dirinya diculik oleh sekumpulan lelaki, baru-baru ini.
Insiden tersebut dipercayai berlaku pada Rabu lepas apabila gadis berusia 18 tahun itu dikatakan menipu teman lelakinya dengan mendakwa dia telah diculik dan dikurung di sebuah rumah yang tidak diketahui lokasinya.
Selain itu, gadis tersebut turut dikatakan menghantar gambar menunjukkan dirinya dalam keadaan tangan diikat serta mata ditutup dengan kain melalui telefon bimbit kepada teman lelakinya untuk membuktikan dirinya benar-benar diculik.
Teman lelaki gadis tersebut yang risau akan keselamatan teman wanitanya kemudian segera memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga mereka serta melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Sekitar jam 3 petang hari yang sama, gadis tersebut dikatakan telah pulang ke rumahnya dan memberitahu bahawa dirinya telah dilepaskan tanpa diapa-apakan oleh kumpulan penculik tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Pahlawan Zulkifli Hassan semasa dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian dan hasil siasatan awal mendapati gadis tersebut telah menipu di mana kejadian penculikan tersebut adalah drama semata-mata.
Menurut Zulkifli, gadis tersebut sebelum itu telah bergaduh dengan teman lelakinya menyebabkan dia berpura-pura diculik untuk mendapat perhatian daripada teman lelakinya semula.
Justeru, gadis tersebut kini mungkin akan ditahan dan didakwa kerana telah membuat laporan palsu yang boleh dikenakan tindakan undang-undang jika disabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan