Rabu, 21 November 2012

Lelaki Tumbuk Muka Polis

Diberkas kerana mencederakan anggota polis

TAWAU: Seorang lelaki warga asing diberkas oleh pihak polis akibat tindakannya menumbuk muka seorang anggota polis yang menasihatkannya agar beredar dari medan selera Sabindo, Jalan Chen Fook di sini, kira-kira jam 3 pagi Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Keong Ho Eng, yang dihubungi di sini kelmarin mengesahkan kejadian terbabit dan mendedahkan bahawa lelaki itu yang berumur 31 tahun kini ditahan reman sehingga 24 November ini.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada penjawat awam semasa menjalankan tugas,” katanya sambil memberitahu anggota polis terlibat telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Dalam pada itu, difahamkan sebelum insiden itu berlaku salah seorang pekerja di sebuah gerai makanan menghubungi pihak polis mengenai kehadiran lelaki terbabit yang berkelakuan mencurigakan.

Menurut salah seorang saksi kejadian yang enggan dikenali, lelaki terbabit sering keluar-masuk di bahagian dapur di sebuah gerai untuk meminta pisau, namun pekerja di gerai terbabit enggan mengikuti kemahuan lelaki berkenaan.

Orang awam yang berada di medan selera berkenaan yang terletak di pusat bandar dikatakan berasa bimbang dengan keselamatan diri mereka selepas melihat tindak-tanduk lelaki itu yang terus mundar-mandir di kawasan kejadian.

Susulan daripada itu, lima penguatkuasa Rondaan Cegah Jenayah yang terdiri daripada anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela tiba di lokasi kejadian untuk memantau keadaan di lokasi terbabit.

Bagaimanapun, lelaki itu menjadi berang apabila diminta beredar meninggalkan lokasi berkenaan dan melepaskan satu tumbukan ke muka salah seorang anggota polis hingga mencederakan anggota penguatkuasa terbabit.

Saksi turut memberitahu bahawa berlaku pergelutan di antara lelaki terbabit dengan pihak penguatkuasa apabila lelaki berkenaan terus enggan memberikan kerjasama semasa hendak diperiksa.

Lelaki itu juga dikatakan sempat mengeluarkan kata-kata yang mencabar pihak polis agar melepaskan tembakan ke atas dirinya sebelum berjaya diberkas dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan susulan.


2 ulasan:

  1. Fotonya mengenaskan sekali kakinya sampai diborgol pula itu.

    Mohon Bantuan dan Dukungannya sahabat untuk mengKLIK G+1 pada postingan saya tentang IPHONE 5 GADGET IMPIAN semoga sahabat berkenan membantu dan terima kasih saya ucapkan sebelum dan sesudahnya

    BalasPadam
    Balasan
    1. mungkin dia mabuk, sebab tu berani melawan. kalau dia masih dalam keadaan normal, x mungkin dia berani btindak mcm tu...

      Padam