Jumaat, 23 November 2012

Aliff Aziz Luah Isi Hati

Aliff Aziz



Setelah beberapa minggu memencilkan diri daripada media pada petang kelmarin sempena sebuah majlis sidang akhbar di Holiday Villa Subang Jaya, Selangor baru-baru ini memperlihatkan sisi Aliff Aziz yang berbeza - kurang ketawa, serius dan sugul.

Terasa kekecewaan dan kesan perpisahannya dengan pelakon Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 28, sehingga menampakkan Aliff kurang bermaya bersama wajahnya yang terhias beberapa titik jerawat.

Ditanya mengenai kadar kesihatannya kini selepas keluar daripada wad kerana disyaki menghidap serangan palpitasi jantung (denyutan jantung tidak teratur) pada awal bulan Oktober lalu, jawab Aliff dia kini sedang dalam peringkat pemulihan.

"Saya dinasihatkan untuk berehat seketika dan Alhamdulillah kini sudah sihat. Baru-baru ini demam sekejap mungkin disebabkan keadaan cuaca sekarang yang tak menentu.

"Sekarang, saya sedang berusaha untuk kurangkan merokok dan kurangkan berfikir sampai jadi stres," katanya.

Tanpa berselindung, kisah perpisahannya dengan Anne menjadi pokok bicara. Ujar Aliff atau nama sebenarnya Muhamad Aliff Aziz, 21, dia kini sedang berusaha untuk kembali ke trek asal iaitu mengejar kejayaan dalam karier sebagai penyanyi serta berbakti kepada keluarga.

"Saya cuba elakkan untuk berfikir perkara yang boleh mengusutkan minda saya terutama kisah perpisahan kami. Buat masa sekarang saya mahu terus fokus kepada prioriti iaitu keluarga dan kerjaya serta menerima perpisahan ini seadanya," ulasnya.

Aliff bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan punca perpisahannya dengan Anne namun masih sudi berkongsi secebis cerita proses perpisahannya dengan pelakon itu.

"Beberapa minggu lepas kami ada sedikit perselisihan faham dan memutuskan untuk memberi ruang kepada diri masing-masing seketika, sehinggalah pada hari dia bertunang, saya dimaklumkan oleh peminat melalui Twitter mengenai majlis itu.

"Kalau orang tanya apakah puncanya kami berpisah, saya tidak rasa signifikan untuk saya memberitahu sebabnya, biarlah ia kekal rahsia antara kami. Kami manusia biasa yang tidak dapat lari daripada kesilapan.

"Susah untuk dijelaskan tetapi saya pasti tiada siapa mahu rasa apa yang sedang saya rasa sekarang," cerita Aliff menahan sebak.

Tambahnya, seminggu sebelum berpisah, Aliff dan keluarga Anne masih berhubung rapat malah Anne sendiri pernah menghubungi bapa Aliff untuk bertanya khabar.

"Kami memang ada buat perancangan untuk berkahwin pada bulan Disember, tapi jodoh tak kesampaian. Dalam proses pemulihan, tiba-tiba saya dapat tahu yang dia sudah bertunang dan akan berkahwin. Jujur, ia benar-benar membuatkan hati saya terluka.

"Sepanjang perkenalan kami, dia tak pernah melakukan kesalahan. Dia memang jaga segalanya termasuk pemakaian saya.

"Anne ada bertanyakan khabar saya melalui bapa saya menerusi panggilan telefon lebih kurang seminggu sebelum bertunang tapi dia tidak memaklumkan akan majlis yang bakal berlangsung itu.

"Kata Anne, dia tak mahu membalas semua SMS saya sebab enggan melihat saya lebih sakit dan cara itu katanya boleh membantu saya untuk melupakan dia," ujar pelantun lagu Sayang Sayang itu.

Selepas majlis itu, Aliff mengakui ada menghantar ucapan tahniah melalui Twitter namun tidak mendapat respons daripada Anne.

Menyifatkan Anne sebagai seorang wanita yang paling sempurna yang pernah dipertemukan sepanjang hidup, jelas Aliff dia tidak menyesal mengenali Anne.

"Saya sangat bersyukur dipertemukan dengan dia dan dia salah seorang wanita yang paling sempurna bagi saya. Saya tidak menyesal mengenali dia kerana dia telah banyak mengajar saya erti cinta dan kehidupan.

"Baru kini saya rasa betapa pedihnya apabila perlu berpisah dengan orang yang kita sangat sayang dan baru sekarang saya faham apa ertinya cinta," tambah Aliff.

Adakah Aliff sudah serik untuk bercinta selepas ini? Jawabnya: "Ikutkan hati apabila melalui sesuatu yang memberikan impak dan membuatkan kita rasa sedih sudah pasti akan rasa fobia. Tapi ini lumrah hidup yang telah ditetapkan Tuhan namun, buat masa sekarang saya belum fikir untuk mencari pengganti dia."





Tiada ulasan:

Catat Ulasan