KUCHING: Seorang bapa yang malu selepas mendapat tahu anaknya merupakan seorang peragut, mengheret sendiri anaknya ke balai polis, lewat petang kelmarin.
Menurut sumber, bapa suspek yang juga seorang penjawat awam, mendapat tahu kegiatan anaknya selepas sepasukan polis tiba di kuarters tempat tinggal mereka untuk menahan suspek.
Bagaimanapun, semasa kedatangan polis, suspek yang berusia 29 tahun itu dilaporkan tidak berada di rumah.
Bapa suspek yang kecewa selepas dimaklumkan mengenai perkara tersebut, kemudian bertindak sendiri mencari anaknya. Sekitar jam 8 malam kelmarin, bapa suspek dilihat hadir di Balai Polis Simpang Tiga untuk menyerahkan suspek kepada pihak polis.
Difahamkan, suspek bersama seorang rakannya sebelum itu dipercayai meragut rantai emas seorang wanita di Taman Sukma sekitar jam 8 pagi kelmarin.
Kurang berpuas hati dengan ‘hasil’ tersebut, suspek dan rakannya sekali lagi cuba meragut beg tangan seorang wanita di pekarangan Emart Matang, namun tidak berjaya selepas dihalang orang ramai.
Motosikal yang dinaiki oleh suspek dan rakannya kemudiannya terbabas sekali gus membolehkan orang ramai menahan mereka.
Namun, suspek yang merupakan pembonceng berjaya melepaskan diri sebelum memecut meninggalkan tempat kejadian menggunakan motosikal itu.
Rakan suspek yang berjaya ditahan orang awam kemudian diserahkan kepada pihak polis dan hasil siasatan berjaya mengenal pasti identiti suspek yang membolehkan pihak polis menjejaki suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis oleh bapanya sendiri malam kelmarin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan