Isnin, 26 November 2012

Kebakaran Di Bintulu

Anggota bomba dan orang awam bertungkus-lumus memadam kebakaran

BINTULU: Malam minggu yang suram bagi 14 keluarga di enam unit rumah teres Lorong B11 Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran besar malam kelmarin.

“Saya hanya dapat menyelamatkan kereta dan motosikal tetapi kunci motosikal tertinggal di dalam rumah,” ujar seorang mangsa kebakaran Wan Halix Wan Laila, 48, semasa ditemui di tempat kejadian.

“Barang-barang lain, rim tayar masih berada dalam rumah hangus. Sebelum kejadian saya terdengar bunyi kaca pecah dan melihat asap tebal dari rumah bersebelahan,” tambahnya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini.

Selain itu, kejadian yang berlaku pada jam 8.45 malam itu turut memusnahkan rumah ibu bapa seorang kakitangan Jabatan Penerangan Daerah Bintulu di sini, Rosnani Mohdar.

“Saya sedang membeli barang dapur di sebuah pasar raya di pusat bandar, sebelum dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu,” kata Rosnani yang dalam keadaan tergamam menyaksikan kediaman ibu bapanya musnah.

“Begitupun saya bersyukur kerana ibu bapa dapat keluar menyelamatkan diri dari rumah yang terbakar itu tetapi semua barang yang ada dalam rumah musnah,” katanya yang tinggal di rumah sendiri dengan suami dan anak-anaknya di RPR Kidurong.

Sebuah rumah terbabit dikatakan telah disewa, manakala sebuah lagi rumah tidak berpenghuni semasa kejadian kerana pemiliknya keluar daerah atas beberapa urusan.

Empat belas keluarga yang terjejas itu merangkumi lima keluarga Melayu dan sembilan keluarga Iban.

Sementara itu Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu Gregory Kurong Suwen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.11 malam dan tiba di tempat kejadian tujuh minit kemudian.

“Kebakaran itu memusnahkan 65 peratus daripada enam unit rumah itu, namun kami berjaya mengawal dan memadamkan api sepenuhnya sekitar jam 10.43 malam,” ujarnya.

“Operasi itu membabitkan 21 anggota bomba, lima anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan beberapa anggota polis dengan bantuan dua jentera bomba,” katanya sambil menambah tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Tekanan air tidak ada masalah dan dengan bantuan orang awam kami dapat mengawal situasi kebakaran itu daripada terus merebak,” jelasnya sambil berterima kasih atas bantuan itu.

Gregory berkata, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan namun dipercayai kebakaran itu bermula dari rumah kedua daripada enam unit rumah tersebut.

Ahli Dewan Negara Senator Datuk Pau Chiong Ung dan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu Zaiedy Nor Abu Nasir turut bergegas ke tempat kejadian.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada memberikan maklum balas dan telah mendapatkan nama-nama mangsa kebakaran,” jelas Pau semasa ditemui.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan