MIRI: Orang ramai dipelawa menyaksikan pelbagai barangan dan produk buatan Malaysia yang akan dipamer dan dijual sempena Ekspo Beli Barangan Malaysia 2012.
Ekspo tersebut akan berlangsung di lobi sayap baharu Bintang Megamall di sini, bermula dari 22 hingga 25 November ini, jam 10 pagi hingga 10 malam.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) yang menganjurkan ekspo tersebut dengan kerjasama kerajaan negeri, memberitahu ekspo berkenaan merupakan peluang bagi orang ramai mengetahui dan membeli pelbagai produk buatan Malaysia yang berkualiti namun pada harga yang murah dan berpatutan.
Jurucakap kementerian memberitahu, selain pameran dan jualan pelbagai produk buatan Malaysia, beberapa aktiviti menarik sebagai acara sampingan untuk menarik orang ramai datang, turun diadakan.
“Antara yang akan diadakan ialah persembahan bakat kanak-kanak, Explorace oleh KPDNKK dan pertunjukkan fesyen pada hari kedua pameran (Jumaat) dan Program ‘BoboiBoy’ Petronas, persembahan tarian wushu serta tarian singa pada hari ketiga pameran (Sabtu),” katanya.
Dalam pada itu juga, pelbagai pertandingam turut diadakan bagi menyerikan lagi pameran seperti pertandingan karaoke pada malam hari pertama; pertandingan mewarna dan pertandingan memakai tudung pada hari kedua; pertandingan menari, menghias kek cawan dan pertandingan menebar roti canai pada hari ketiga diikuti dengan pertandingan menarik teh tarik pada hari terakhir ekspo.
Selain itu, katanya, KPDNKK juga akan menganjurkan Seminar Kepenggunaan yang akan berlangsung di Hotel Meritz pada jam 9.30 pagi, hari Sabtu.
Sementara itu, majlis perasmian ekspo ini akan diadakan pada hari Khamis, jam 2 petang manakala majlis penutupan pula diadakan pada Ahad, jam 11 pagi. Namun pameran akan berakhir pada jam 10 malam, Ahad ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan