GOMBAK – Sepasang kekasih warga Indonesia ditemui mati dipercayai dibunuh oleh suami mangsa wanita terbabit di sebuah rumah di Jalan Changkat, Kampung Changkat dekat Taman Greenwood di sini semalam.
Kedua-dua mangsa yang berasal dari Madura, Indonesia itu berusia 30-an ditemui dalam keadaan terlentang di dalam rumah tersebut oleh seorang saudara wanita yang mengunjung ke rumah tersebut pada pukul 10 pagi.
Ketika ditemui, mayat pasangan yang tiada pengenalan diri itu dalam keadaan lengkap berpakaian tetapi mereka tiada dokumen pengenalan diri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, mayat mangsa lelaki ditemui di dapur rumah manakala mayat wanita pula ditemui di depan salah sebuah bilik di dalam rumah itu. Pasangan itu ditemui dalam keadaan cedera teruk di muka dan kepala.
Menurut beliau, pasangan itu dipercayai dibunuh menggunakan objek tumpul dipercayai kayu berdasarkan penemuan beberapa batang kayu dengan kesan darah di lokasi kejadian.
“Pasangan itu dikatakan menyewa bilik berlainan di rumah kayu itu sejak setahun lalu,” kata beliau ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan