Sabtu, 24 November 2012

Mayat Lelaki Ditemui Terapung


SANDAKAN: Seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai jatuh ke laut semasa menangkap ikan di sekitar kawasan perairan Pulau Tiga di sini pada Isnin lepas ditemui lemas petang kelmarin.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Akis Hanaping, 40, ditemui terapung di kawasan perairan di antara Pulau Selingan dan Pulau Bakungan Kecil di sini oleh sebuah bot nelayan.

Pengarah Penguatkuasaan dan Eksais Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan, Komander Maritim Haji Raziee Keding dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima maklumat daripada penyelia mangsa, Phua Yoke Lim, kira-kira jam 7 pagi pada 19 November lepas berhubung kejadian mangsa yang telah terjatuh ke laut.

Katanya, Phua juga memberitahu usaha mencari telah dijalankan oleh keluarga mangsa dengan bantuan penduduk kampung, bagaimanapun mangsa masih gagal ditemui.

Sejurus selepas itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diaktifkan dan Bot Maritim KILAT 37 telah diarah untuk melaksanakan operasi setelah menerima laporan daripada pihak polis pada hari yang sama.

Operasi berkenaan tamat selepas empat hari apabila mayat mangsa ditemui terapung oleh sebuah bot nelayan di kawasan perairan diantara Pulau Selingan dan Pulau Bakungan Kecil.

Raziee turut memohon kerjasama daripada komuniti maritim agar dapat menitikberatkan aspek keselamatan memandangkan keadaan cuaca pada masa kini yang tidak menentu.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan