Kubur Arafat sebelum digali.- Agensi
RAMALLAH – Salah satu misteri politik Asia Barat mungkin dapat diketahui pada hari ini apabila para saintis menggali liang lahad kubur pemimpin terkenal Palestin, Yasser Arafat di sini untuk mengetahui sama ada dia diracun.
“Ia amat menyakitkan, mengejutkan dan tidak mudah bagi saya dan anak-anak, tetapi ia mesti dilakukan untuk mengetahui perkara yang sebenar, jika terdapat jenayah, ia mesti diselesaikan,” kata balu Arafat, Suha ketika dihubungi di rumahnya di Malta.
Ketua Penyiasat Palestin berkata, Tawfik Tirawi berkata, liang lahad tersebut akan digali pada hari ini untuk mengambil sampel dari tulang Arafat dan pengebumian semula akan dilakukan pada hari yang sama.
Khabar angin dan spekulasi tersebar mengenai punca kematian Arafat. Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera dekat Paris pada November 2004 ketika berusia 75 tahun.
Doktor-doktor di Perancis tidak dapat mengenal pasti punca kematian presiden Palestin itu. Penduduk Palestin percaya Arafat diracun Israel.
Pada Julai lalu, stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan penemuan daripada sekumpulan pakar dari Switzerland yang menunjukkan terdapat bahan radioaktif, polonium pada barang peribadinya.
Polonium merupakan racun yang membunuh bekas perisik Rusia yang lantang, Alexander Litvinenko di London pada 2006.
Liang lahad itu digali selepas kes siasatan kematian Arafat dibuka di Perancis baru-baru ini. Panel hakim yang mengendalikan siasatan itu tiba di Ramallah, Tebing Barat kelmarin. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan