Sabtu, 24 November 2012

Tutup Lampu Elak Pihak Berkuasa

Bot jenis rawai yang digunakan oleh kumpulan nelayan terbabit

KOTA KINABALU: Sebuah bot nelayan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa menghidupkan lampu bot.

Dipercayai, nelayan yang menggunakan bot jenis rawai itu melanggar syarat lesen dengan menarik pukat kurang tiga batu nautika daripada pesisiran pantai Usukan, Kota Belud.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Khamis lepas, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan kesemua awak-awak bot terbabit yang juga warganegara Indonesia.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Kota Kinabalu, Kapten Maritim Amir Azwa Alias berkata tindakan awak-awak berkenaan mematikan lampu bagi mengelak kegiatan mereka diketahui pihak berkuasa.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut turut mendapati dokumen awak-awak berkenaan bersama tekong diragui dan akan dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Bot terbabit ditunda ke jeti APMM untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan bagi kesalahan menarik pukat di bawah tiga batu nautika,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada semua nelayan agar memastikan dokumen pengenalan diri dan lesen lengkap dibawa sebelum keluar menangkap ikan.

Jelasnya, para nelayan juga sepatutnya tidak melanggar syarat sah lesen sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan