Khamis, 22 November 2012

Nyawa Melayang Waktu Dinihari

Kemalangan di Kilometer 294.1, Lebuh Raya Utara-Selatan semalam

KAMPAR – Empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) maut manakala empat lagi cedera parah dirempuh sebuah treler membawa muatan barangan makanan ringan di Kilometer 294.1, Lebuh Raya Utara-Selatan, kira-kira tiga kilometer dari susur keluar ke Gopeng di sini semalam.

Dalam kemalangan ngeri pada pukul 4.30 pagi itu, tiga mangsa yang terkorban di tempat kejadian ialah Shaharudin Abdul Aziz, 51, dari Kuala Kangsar; Mohd. Shafie Ismail, 56, dari Ipoh dan Mohd. Hafez Yunos, 39, dari Keramat, Kuala Lumpur.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kampar.

Seorang lagi mangsa tragedi itu ialah Ismady Mohd. Rodzi, 32, dari Kulim, Kedah. Ismady meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Empat mangsa yang cedera parah merupakan dua pekerja Propel iaitu Dino Azmi, 38, dan Shafudin Abdul Jalil, 31, manakala dua lagi mangsa membabitkan kakitangan Time.com, Azhan Ismail, 44, dan Mahyuddin Idris, 48. Kesemua mangsa yang cedera parah dirawat di HRPB.

Kiri Ismady, Hafez, Shaharudin dan Shafie

Semasa kejadian kesemua mangsa sedang melakukan kerja-kerja penggantian kabel optik telefon kecemasan SOS di laluan kecemasan di kawasan tersebut yang rosak dipercayai angkara perbuatan mencuri kabel di situ.

Seorang mangsa yang cedera parah, Dino memberitahu, tragedi itu berlaku dengan pantas iaitu sejurus selepas dia terdengar bunyi brek kenderaan yang kuat sebelum dia dan tujuh yang lain terus terpelanting ke tepi lebuh raya akibat dirempuh sebuah kenderaan.

Cerita Dino yang patah kaki kanan, mereka semasa itu baru memulakan kerja-kerja di kawasan tersebut dan langsung tidak nampak kehadiran treler berkenaan sehingga terdengar bunyi brek yang kuat.

Sekitar kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja penggantian kabel optik itu sudah di kelilingi kon keselamatan.

“Sedar-sedar, saya nampak tiga rakan terperosok di bawah tayar treler dan dalam keadaan merangkak saya menghubungi polis dan ambulans,” katanya ketika ditemui.

Kesemua mangsa yang berada di bawah tayar meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang maut di hospital tercampak kira-kira lima meter.

Pemandu treler, Zulkifli Mohd. Noor, 41, dari Langkawi, Kedah dan kelindannya, Mohd. Rozi Mat Sharif, 44, turut cedera parah dan dirawat di HRPB.

Jenazah kesemua mangsa yang terbunuh dituntut keluarga masing-masing petang semalam.


save gaza 1 Banner


Tiada ulasan:

Catat Ulasan