Isnin, 26 November 2012

Pertandingan Tarian Oppa Kuching Style 2012


KUCHING: Ratusan peminat lagu hit Korea ‘Oppa Gangnam Style’ nyanyian PSY membanjiri pekarangan Pasar Raya Besar Giant Tabuan Jaya untuk menyaksikan Pertandingan Tarian Oppa Kuching Style 2012 dekat sini semalam.

Pertandingan yang diadakan selama dua hari itu menyaksikan seramai 18 kumpulan berentap untuk mempamerkan aksi tarian mereka sendiri.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng semasa berucap pada majlis perasmian berkata, menerusi pertandingan itu ia memberi pelbagai manfaat terutama kepada golongan muda.

“Pertandingan ini bukan sahaja dapat mengasah bakat tarian khasnya di kalangan orang muda tetapi dapat dijadikan kaedah senaman terbaharu untuk menyihatkan badan,” katanya.

Pada masa yang sama Yong turut meluahkan rasa keyakinan bahawa rakyat Sarawak mampu mencipta satu sejarah tersendiri suatu masa kelak menerusi keaslian, kreativiti dan kerja keras bersama.

“Kita (Sarawak) mempunyai banyak bakat dalam kesenian daripada tarian, nyanyian, bermain alat muzik dan mencipta.

“Malah, kita juga mempunyai profesional dalam bidang sains dan sukan yang mampu menyinar di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Justeru, beliau berharap rakyat negeri ini khasnya golongan muda menggunakan dan memanfaatkan peluang sedia ada untuk memajukan diri mereka.

Terdahulu menurut Pengerusi Penganjur Lim Sin Yin, pertandingan tarian itu diadakan selama dua hari bermula semalam dan pusingan akhir akan diadakan hari ini.

“Daripada 18 kumpulan yang bertanding hanya lima daripadanya akan dipilih untuk masuk ke pusingan akhir pada esok hari (Ahad),” katanya yang mana setiap finalis akan membawa pulang wang tunai RM3,000.

Pertandingan itu mendapat tajaan daripada Giant, Eyesight Optic, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, F&N Creameries (M) Sdn Bhd, F&N Creameries (Sarawak) Sdn Bhd, Cadbury dan Ismaco.

Hadir sama pada majlis perasmian itu semalam Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Lo Khere Chiang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan