Khamis, 29 November 2012

Jangan Sebar Berita Palsu Di Internet

Norikoh Saliwa

KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini digesa untuk tidak terburu-buru mempercayai sebarang informasi palsu mengenai kes Norikoh Saliwa,16, yang ditemui mati terbaring di tepi jalan berhampiran Kampung Ranau, Kota Marudu baru-baru ini kerana ianya masih dalam siasatan pihak polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang menyebarkan fakta salah seumpama kes terbabit kerana tindakan itu bukan sahaja menimbulkan perasaan takut di kalangan masyarakat malah mampu menggugat keselamatan negara.

Hamza berkata, pelbagai andaian termasuklah dakwaan kononnya mangsa telah dirogol dan dibunuh oleh warga Pakistan sepertimana disebarkan menerusi internet haruslah dihentikan segera, kerana ianya mampu menggugat kesejahteraan awam selain mengaibkan keluarga mangsa.

“Sehubungan itu, kita meminta agar semua pihak berhenti menyebarkan sebarang berita yang bercanggah daripada fakta kerana menyebabkan kesejahteraan awam tergugat malah mengaibkan keluarga si mati, sedangkan siasatan berhubung kes ini masih dijalankan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebar maklumat itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Asisten Komisioner Omar Mamah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Superitendan Saiman Kasran.

Insiden yang berlaku Ahad lalu itu, Norikoh yang berasal dari Kampung Bombong 1, Kota Marudu ditemui mati di tepi jalan Kota Marudu-Kota Kinabalu kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Sebelum kejadian, mangsa dan kakaknya, 32, telah pergi menemani adik sepupu mereka yang berusia 15 tahun untuk mencari kerja di sebuah premis menjual perabot di pekan Goshen, Kota Marudu.

Kata Hamza, mereka telah membeli penyambung wayar di kedai berkenaan sebelum keluar minum bersama pengurus premis terbabit di pekan itu.

Jelas beliau lagi, tidak lama kemudian, kakak mangsa memberitahu bahawa mereka telah tertinggal penyambung wayar yang telah dibeli di premis itu dan meminta mangsa pergi mengambilnya.

“Bagaimanapun ekoran ketiadaan pengangkutan, mangsa telah menumpang lori milik pengurus premis berkenaan iaitu seorang lelaki warga Pakistan untuk ke premis itu.

“Sejurus kemudian, mayatnya telah ditemui terbaring di tepi jalan berhampiran Kampung Ranau yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pekan Kota Marudu,” kata.

Berikutan penemuan mayat mangsa, lelaki warga Pakistan yang berusia 40an itu telah ditahan polis pada keesokan harinya di premisnya kira-kira jam 10 pagi.

Mengulas lanjut, Hamza berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah di Likas di sini.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa mempunyai kecederaan paling nyata di bahagian kepalanya dan kita masih menanti laporan lengkap bedah siasat mayat mangsa untuk mengetahui terdapat kecederaan lain termasuklah bukti dia dirogol atau tidak.

“Kita juga akan menyiasat dari pelbagai aspek tetapi setakat ini kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan