Mangsa yang cedera, Mahyuddin Idris
KAMPAR – Norazian Mohamed Abdul Rashid, 34, tidak menyangka permintaan suaminya, Mohd. Hafez Yunos supaya dia menjaga dua anak mereka dengan baik merupakan pesanan terakhirnya.
Cerita Norazian, arwah Hafez menghubunginya pada pukul 8.30 malam kelmarin dan bertanya mengenai dua anak mereka, Siti Aishah, 12, dan Siti Hadibah, 10, sebelum meminta dia menjaga mereka dengan baik.
Siti Aishah memperoleh keputusan 5A pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Isnin lalu.
“Antara pesanan arwah ialah minta saya mendidik anak-anak tidak tinggal sembahyang dan saya tidak akan sia-siakan mereka,” kata wanita itu ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kampar.
Dalam kemalangan pada pukul 4.30 pagi itu, empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya (Propel) termasuk Hafez terbunuh selepas dirempuh treler di Kilometer 294.1 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini.
Sementara itu, anak sulung Mohd. Shafie Ismail, Shahrol, 29, berkata, kematian bapanya mengejutkan kerana mereka sekeluarga baru meluangkan masa bersama pada hujung minggu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan