Jumaat, 17 Mei 2013

Mayat Mangsa Bunuh Ditimbus Sedalam Lima Kaki

Gambar Hiasan

MIRI: Dua mayat warga asing dipercayai mangsa bunuh ditemui tertimbus pada kedalaman lima kaki di sebuah tapak pembinaan berhampiran sebuah taman perumahan di sini, tengah hari semalam.

Bagaimanapun, identiti sebenar kedua-dua mangsa terbabit yang dipercayai mempunyai pertalian saudara iaitu bapa dan anak lelaki, masih belum diketahui.

Lokasi mayat kedua-dua mangsa ditanam berjaya dikesan dengan bantuan seekor anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini sekitar jam 9.30 pagi semalam.

Menurut sumber, sekitar jam 8 pagi semalam, seorang penyelia di tapak pembinaan itu telah membuat laporan di Balai Polis Lutong yang mendakwa beberapa pekerjanya tidak turun bekerja sejak enam hari, iaitu 11 Mei lalu.

Penyelia terbabit juga memberitahu ada menerima maklumat yang mengatakan ada di antara pekerjanya telah dibunuh dan mayatnya ditanam di kawasan pembinaan terbabit, justeru meminta polis pergi ke tempat tersebut untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Berikutan itu, sepasukan polis diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menemui lokasi mayat ditanam dengan bantuan seekor anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Selain bau busuk, polis mendapati kesan timbusan tanah di lokasi mayat ditanam juga masih baharu dan serentak itu, kerja-kerja penggalian dilakukan oleh anggota polis dengan menggunakan peralatan cangkul dan penyodok tanah.

Namun, memandangkan kedudukan mayat yang agak dalam iaitu lima kaki serta ditutupi dengan beg-beg simen sebelum ditimbus dengan tanah di bahagian atasnya, polis terpaksa meminta bantuan menggunakan sebuah jengkaut di tapak pembinaan tersebut untuk mempercepatkan usaha penggalian mayat-mayat terbabit.

Mayat kedua-dua mangsa hanya berjaya dikeluarkan sekitar jam 12.30 tengah hari.

Ketika ditemui, mayat terbabit yang dimasukkan ke dalam dua guni berasingan dengan bahagian kaki diikat sudah mulai reput dan berada pada jarak tiga kaki antara satu sama lain.

Pemeriksaan lanjut juga mendapati bahagian kepala kedua-dua mangsa hampir putus, sementara perut terburai dipercayai ditetak dengan objek tajam.

Kedua-dua mangsa yang dipercayai anak dan bapa berdasarkan keadaan fizikal salah satu mayat yang agak kecil merupakan pekerja di tapak pembinaan tersebut.

Difahamkan, pada malam Jumaat lalu telah berlaku satu pergaduhan di tapak pembinaan tersebut membabitkan dua etnik iaitu Madura dan Sambas.

Berikutan penemuan mayat itu, polis telah pergi ke rumah pekerja yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi mayat ditemui yang dipercayai tempat pergaduhan berlaku untuk mencari petunjuk namun kemudian mendapati rumah pekerja terbabit telah dikosongkan.

Para pekerja terbabit dipercayai telah melarikan diri sejurus selepas pergaduhan berlaku pada malam Jumaat, 10 Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah (KPD) Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat kedua-dua mangsa yang dipercayai berketurunan Sambas dan berasal dari Indonesia.

“Kedua-dua mangsa kemungkinan dibunuh dan mayatnya ditanam di tapak pembinaan itu. Namun motif sebenar kejadian masih belum diketahui dan polis akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya ringkas sambil memberitahu akan mengadakan sidang media berhubung kes itu hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan