Isnin, 20 Mei 2013

Redah Api Selamatkan Anak

Api merebak dengan pantas memusnahkan lapan buah rumah di Kampung Limpaong, Limbang

LIMBANG: Dengan tiga laungan ‘Allahuakbar!’, seorang ibu meredah api menjulang demi menyelamatkan anak bongsu dan seorang anak buahnya dalam kebakaran yang memusnahkan lapan buah rumah di Kampung Limpaong di sini, pagi semalam.

Kejadian mencemaskan pada jam 10.30 pagi itu menyebabkan 20 keluarga tinggal sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan harta benda yang musnah dalam sekelip mata akibat api marak dan merebak dengan pantas.

Mangsa Rosnani Dullah, 35, menceritakan detik cemas itu berkata, ketika kejadian semua ahli keluarganya berada di tingkat bawah rumah kayu dua tingkat itu, manakala anak bongsu lelakinya yang berusia setahun lebih dan anak buahnya, 10, berada di dalam sebuah bilik di tingkat atas.

“Kejadian begitu pantas, kami hanya menyedari kebakaran berlaku setelah diberitahu oleh abang saya yang sedang membeli mi segera apabila ternampak api marak dari bahagian dapur rumah ibu kami.

“Saya yang panik dan terkejut segera berlari untuk menyelamatkan anak lelaki dan anak buah saya yang sedang berkaraoke di dalam bilik walaupun api marak dengan pantas,” ujarnya.

Menurut Rosnani, sebelum kejadian mereka ada terdengar bunyi percikan elektrik dari bahagian dapur sebelum api marak dan merebak memusnahkan lapan buah rumah kayu di kampung tersebut.

“Kami tidak memasak ketika itu, namun ada tendengar bunyi percikan elektrik sebelum api marak dan meranapkan kediamanan kami,” katanya sambil menambah kebakaran itu menyebabkan kerugian lebih RM100,000.

Walaupun masih trauma, beliau bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa berlaku.

Ibu Rosnani, Zaleha Besar yang berusia lewat 70-an berkata, sebaik mengetahui kebakaran itu, beliau memasuki rumah untuk menyelamatkan cucunya, namun sempat dihalang oleh anaknya (Rosnani).

“Jika tidak dihalang oleh anak saya, saya tidak tahu apa yang akan berlaku kerana sudah panik memikirkan kedua-dua cucu yang masih berada di bilik rumah kami,” ujarnya yang mempunyai lapan anak dan 56 cucu.

Selain Rosnani, katanya, rumah tersebut turut didiami oleh dua buah keluarga lain.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon Limbang Anuar Shazat Merdzuki berkata, anggotanya tiba di tempat kejadian tujuh minit selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.47 pagi semalam.

“Seramai 14 anggota bomba, 11 anggota RELA dan 25 anggota pasukan Bomba Sukarela Kampung Seberang Kedai yang datang menggunakan bot turut membantu operasi memadam kebakaran, selain bantuan penduduk kampung, orang ramai dan polis,” katanya.

Anuar menjelaskan, seramai 14 anggota diketuai oleh beliau sendiri turut bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera dan tiga buah kenderaan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Api berjaya dikawal pada jam 11.45 pagi dan kita menghadapi kesukaran berikutan angin kuat dan keadaan rumah yang terlalu rapat,” katanya.

Turut menyertai operasi tersebut, Ketua Balai Bomba Limbang Awang Mohamad Farbu Abdul Hamid.

Anuar berkata, pihaknya menubuhkan pasukan penyiasat untuk menyiasat punca kejadian dan anggaran kerosakan dalam kebakaran itu.

“Kertas siasatan dijangka siap dalam tempoh 14 hari untuk mengetahui punca kebakaran dan nilai kerosakan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai yang bertungkus- lumus membantu pihaknya memadam kebakaran tersebut.

Turut berada di lokasi ialah Residen Bahagian Limbang Maria Hasman.

Difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail juga berada di lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Limbang berkata, pihaknya akan menyediakan bantuan makanan, peralatan dapur, pakaian, bantuan harian serta bantuan baik pulih rumah kepada 20 keluarga terbabit.

Buat masa ini, kesemua mangsa ditempatkan sementara di asrama Dewan Suarah Limbang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan