Rabu, 8 Mei 2013

AS Ucap Tahniah Kepada Najib Atas Kemenangan PRU13


KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mengucapkan tahniah ke­pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Ra­zak dan Barisan Nasional (BN) atas kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Ahad lepas.

“Kami mengucapkan tahniah kepada rakyat Ma­laysia kerana berjaya men­gadakan pilihan raya yang paling kompetitif dalam sejarah negara,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Amerika di sini, yang memetik pemangku timbalan jurucakap di Jaba­tan Negara Amerika Patrick Ventrell.

“Kami puas hati melihat rakyat Malaysia pelbagai peringkat terlibat dalam proses pengundian dalam jumlah yang besar dengan semangat yang tidak per­nah berlaku sebelum ini,” katanya. Ventrell berkata Amerika berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan baharu setelah ia dibentuk.

PRU13 menyaksikan BN yang diterajui Najib kem­bali berkuasa apabila parti gabungan itu menang 133 daripada 222 kerusi Parli­men untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Semalam, Najib men­gangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Per­tuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara.

Dalam kenyataan itu, Ventrell turut menggesa semua pihak menghormati kehendak pengundi.

Menyentuh kebimbangan negara berlaku kepincangan dalam proses mengundi, beliau berkata menangani isu sedemikian adalah pent­ing untuk menguatkan keyakinan dalam proses pengundian.

Najib yang juga pengerusi BN, turut menerima ucapan tahniah melalui telefon semalam daripada rakan sejawatannya daripada New Zealand, John Key. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan