MIRI: Mahkamah Majistret di sini pagi semalam menangguhkan sehingga 5 Jun depan untuk sebutan lanjut kes empat lelaki termasuk tiga beradik yang dituduh membunuh seorang pekerja luar pantai yang mayatnya dijumpai terdampar di pantai Batu Satu, Kuala Baram pada Ogos 2012.
Manakala kesemua tertuduh yang tidak boleh dibebas dengan ikat jamin diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir, di sini sementara menunggu tarikh tersebut.
Penangguhan itu dibuat Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan pegawai pendakwa Inspektor Norliza Abdullah.
Dalam permohonannya, Norliza memohon agar ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes tersebut memandangkan laporan bedah siasat dan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.
Aspin Amut, 19, Augustine Asan, 32, Roy Amut, 20 dan Noly Amut, 26 telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, keempat-empat tertuduh telah dituduh melakukan pembunuhan hingga mengakibatkan kematian Edward Kenidie Ngadan, 27.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 2.30 pagi, 28 Ogos 2012 di kawasan tepi jalan Bandar Baharu Permyjaya di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan