Seorang anggota bomba cuba menenangkan mangsa kebakaran
KAPIT: Kebakaran melibatkan rumah panjang yang semakin kerap berlaku adalah amat menyedihkan, kata Pegawai Daerah Kapit Elvis Didit.
Beliau berkata, kebakaran terbaharu yang memusnahkan Rumah Agan Minggat di sini pada jam 7.30 pagi semalam membuktikan betapa pentingnya semua pihak mengambil berat tentang aspek pencegahan kebakaran dan keselamatan rumah panjang.
Ia merupakan kebakaran kedua dalam tempoh beberapa minggu selepas Rumah Kilau, Nanga Lijau, Song musnah dalam kejadian terakhir pada 23 April lalu, katanya.
“Saya ingin menekankan dua perkara di sini iaitu JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) harus memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan.
“Apabila berlaku kebakaran seperti ini, tindakan yang sewajarnya harus diambil. Bagi rumah panjang, tindakan paling penting adalah pencegahan kebakaran.
“Ini bermakna JKKK harus mempunyai perancangan berhubung apa yang harus dilakukan. Jika hanya pemilik rumah tahu apa yang perlu dilakukan, ini boleh menyebabkan seluruh rumah panjang itu musnah,” katanya ketika melawat mangsa kebakaran Rumah Agan Minggat di sini, semalam.
Di samping itu, katanya, peralatan bagi memadam kebakaran juga perlu ada dan JKKK perlu menubuhkan pasukan bomba sukarela.
“JKKK harus mengambil inisiatif bagi membentuk dan melatih anggota sukarela di kalangan penduduk rumah panjang,” jelas beliau.
Elvis turut melahirkan rasa bimbang dengan keadaan rumah-rumah di Kampung Balang, Kampung Sawang dan sebagainya yang dibina terlalu hampir antara satu sama lain.
Katanya, rumah yang dibina berhampiran itu menyebabkan kenderaan penyelamat seperti jentera bomba dan ambulans sukar untuk sampai ke tempat kejadian ketika waktu kecemasan.
“Ini amat berbahaya seperti apa yang berlaku di Rumah Agan Minggat ini. Apabila kebakaran meletus, kenderaan bomba tidak dapat masuk,” katanya.
Beliau turut meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kapit menghulurkan bantuan segera kepada semua mangsa selain menyediakan tempat tinggal sementara.
Rumah Agan Minggat sepanjang 30 pintu yang terletak berhampiran Jambatan Sungai Sesibau, Jalan Bukit Goram di sini dikatakan ranap sama sekali dalam tempoh kurang daripada sejam, sekali gus menyebabkan penduduk kehilangan semua harta benda.
Meskipun Jabatan Bomba dan Penyelamat Kapit berusaha memadamkan kebakaran, namun usaha tersebut sia-sia disebabkan api yang marak dengan cepat.
Seorang saksi yang dikenali sebagai Ringkai yang bertugas di Poliklinik Bletih memberitahu, beliau ada terlihat asap keluar dari rumah panjang itu pada kira-kira jam 7.30 pagi.
“Melihat kejadian itu, kami terus bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa kebakaran. Dua penghuni masing-masing seorang wanita tua dan seorang lelaki dalam lingkungan 30-an turut melecur.
“Kedua-dua mereka telah dikejarkan ke poliklinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya sambil memberitahu dua ambulans dan 10 kakitangan dikejarkan ke tempat kejadian.
Rumah Agan Minggat yang berusia lebih 20 tahun mempunyai kira-kira 300 penduduk, manakala terdapat 30 pintu lagi rumah individu berhampiran rumah panjang tersebut.
Menurut seorang mangsa, Ngindang, 56, beliau kehilangan sebuah motosikal yang baharu dibelinya, yang disimpan di dalam rumah kerana bimbang dicuri.
“Kini saya kerugian bukan sahaja semua harta benda tetapi motosikal yang baharu dibeli dengan harga lebih kurang RM6,000,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Mutan Langgit memberitahu beliau sedang bekerja dan bergegas pulang ke rumah apabila dimaklumkan mengenai kejadian.
Tukang kayu berusia 61 tahun itu berkata, sebaik tiba di rumah panjang, semuanya telah menjadi abu.
“Segalanya telah musnah. Hanya pakaian yang ada di badan ini sahaja yang tinggal,” jelas Mutan.
Sementara itu, Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Kapit, Jackson Anyie Ngau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.11 pagi.
“Dua jentera bomba dengan 18 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian. Kita turut dibantu oleh enam anggota bomba sukarela.
“Kita mengambil masa sejam bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran,” katanya sambil menambah tempat kejadian terletak kira-kira dua kilometer dari bandar Kapit. - UTUSAN BORNEO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan