Isnin, 6 Mei 2013

Barisan Nasional Kembali Berkuasa

Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri masing-masing meraikan kejayaan BN 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menerima mandat pertamanya daripada rakyat untuk menerajui negara sebagai perdana menteri keenam selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) malam tadi.

Keputusan muktamad pilihan raya umum bagi kesemua 222 kerusi Parlimen masih belum diumumkan sepenuhnya, namun setakat jam 2.30 pagi tadi dengan BN sudah memenangi 132 kerusi melebihi 122 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, manakala Pakatan Rakyat memperolehi 84 kerusi.

Ini merupakan saat bersejarah bagi Najib dan negara kerana anak bekas seorang perdana menteri telah berjaya menerajui 13 parti gabungan untuk memenangi pilihan raya umum kali ini yang merekodkan 13.27 juta pemilih berdaftar.

Beliau telah berkempen tanpa mengenal penat lelah di seluruh negara untuk menyakinkan pengundi mengenai transformasi yang berlaku dalam BN dan aku janji dalam manifesto BN yang mendahulukan rakyat dan untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Najib dan beberapa pemimpin parti komponen telah berkumpul di ibu pejabat BN di Menara Dato Onn di ibu negara untuk menunggu keputusan pilihan raya.

BN juga setakat ini mengekalkan kerajaan negeri di Pahang, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sabah.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN memenangi 25 kerusi di Sarawak, 15 (Johor), 13 (Sabah), 12 (Perak), 10 (Pahang), sembilan (Kedah), masing-masing lima di Kelantan dan Negeri Sembilan dan masing-masing empat di Melaka dan Terengganu.

DAP menang 31 kerusi Parlimen iaitu masing-masing tujuh di Pulau Pinang dan Perak, masing-masing lima di Kuala Lumpur dan Sarawak, masingmasing dua di Selangor dan Sabah dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

PKR pula menang 17 kerusi Parlimen iaitu tiga di Kuala Lumpur, masing-masing dua di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Selangor dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, PAS memenangi 14 kerusi Parlimen iaitu enam di Kelantan, masing-masing dua di Terengganu, Perak dan Selangor dan masing- masing satu di Kedah dan Pahang.

Sementara itu di Pekan, Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan untuk penggal ke-10 dengan majoriti 35,613 undi, jauh lebih besar daripada kemenangannya pada pilihan raya umum 2008, mengalahkan lawannya daripada PKR Mohd Fariz Musa.

Pada pilihan raya umum 2008 Najib menewaskan calon PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dengan majoriti undi sebanyak 26,464.

Dalam keputusan yang diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pekan Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam tadi, Najib memperoleh 51,278 undi, jauh meninggalkan lawannya Mohd Fariz yang mendapat 15,665 undi.

Mohd Fadzli berkata jumlah undi rosak ialah 1,275, manakala jumlah pemilih yang keluar mengundi seramai 68,463 orang daripada 80,260 pengundi yang berdaftar.

Sementara itu, empat calon Barisan Nasional (BN) di kawasan dewan undangan negeri (DUN) di bawah kawasan parlimen Pekan yang diwakili dua muka baharu dan dua muka lama turut cemerlang menewaskan lawan masing-masing.

Calon BN di DUN Bebar, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff mengalahkan Mohd Jafri Ab Rashid (PKR) dengan majoriti 6,715 undi.

Calon Peramu Jaya, Datuk Mohmed Puzi Sh Ali cemerlang menewaskan dua lawannya iaitu Syed Mohamad Faiz Syed Azemmant (Bebas) dan Abu Kassim Manaf (PAS) dengan majoriti 7,627 undi, sekali gus menyaksikan calon Bebas itu hilang wang pertaruhan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan