Selasa, 14 Mei 2013

Premis Jual Pelbagai Produk Penjagaan Kesihatan Dirompak


MIRI: Sebuah premis menjual pelbagai produk penjagaan kesihatan dan kecantikan kerugian lebih RM300 setelah dirompak seorang lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian malam kelmarin (Ahad).

Menurut sumber, sebelum kejadian yang berlaku sekitar jam 8.30 malam itu, tiga pekerja wanita di premis berkenaan sedang bersiap-siap untuk menutup premis berkenaan.

Tiba-tiba mereka telah didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal. Serentak itu, lelaki terbabit yang masih memakai topi keledar sambil bersenjatakan sebilah parang terus meluru masuk ke dalam premis sambil mengarahkan seorang juruwang menyerahkan kesemua wang yang ada dalam mesin daftar tunai di premis berkenaan kepadanya.

Mangsa yang ketakutan dan bimbang akan keselamatan diri dan dua lagi rakan terancam terpaksa menurut arahan perompak terbabit dengan menyerahkan wang tunai lebih RM300 yang merupakan hasil jualan pelbagai produk pada hari tersebut.

Setelah itu, perompak terbabit kemudian melarikan diri. Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan perompak terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan