SIBU: Seorang anak kapal warganegara Indonesia dijumpai mati di aras bawah kapal tongkang yang berlabuh di tepi Sungai Rajang berdekatan kawasan Jalan Stabau di sini dipercayai terhidu gas beracun pagi semalam.
Sebelum kejadian jam 7.30 pagi, lima anak kapal diarah oleh ketua mereka agar tidak memasuki bahagian aras bawah kapal tersebut.
Tidak dapat dipastikan bagaimana salah seorang anak kapal iaitu mangsa yang dikenali sebagai Farnansyah, 26, berada di kawasan larangan tersebut.
Ketua mereka telah memberi amaran dan menegah semua awak-awak kapal yang bekerja ketika itu untuk menjauhkan diri daripada memasuki aras bawah kapal itu kerana kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan.
Menurut sumber, aras bawah kapal itu berketinggian lima meter dan air sedalam dua kaki masih bertakung di situ. Difahamkan mangsa dikatakan turun ke aras bawah kapal tanpa memberitahu ketuanya.
Semasa ketua mereka melakukan pemeriksaan, dia mendapati salah seorang daripada lima anak kapal tongkang tersebut tidak dapat dikesan.
Rakan sekerja mangsa meragui mangsa berada di kawasan larangan itu bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba di tempat kejadian sekitar jam 7.00 pagi.
Menurut laporan, anggota-anggota bomba yang terlibat lengkap dengan pakaian keselamatan serta menggunakan peralatan pernafasan oksigen turun ke aras bawah kapal tersebut untuk mencari mangsa. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam air sedalam dua kaki di aras bawah kapal tersebut.
Menurut sumber, mangsa mungkin pengsan selepas terhidu gas beracun dan dipercayai terjatuh ke lantai yang berisi air sedalam dua kaki.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa dengan kapal lain untuk dihantar ke tebing sungai sebelum dihantar ke Hospital Sibu dengan kenderaan polis. Difahamkan mayat mangsa akan dibedah siasat untuk mengenal pasti punca kematiannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan