Selasa, 7 Mei 2013

Hasrat Untuk Bunuh Diri Tidak Kesampaian

Mangsa yang cedera parah di kepala dibawa ke Hospital Umum Sarawak

KUCHING: “Tolong jaga adik-adik saya pergi dulu,” pesan seorang remaja lelaki kepada ibunya sebelum bertindak terjun dari tingkat tiga rumah kedai di Bandar Baharu Batu Kawa di sini malam kelmarin.

Mangsa yang berusia 20 tahun itu dikatakan cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkap dari aras tersebut. Bagaimanapun hasratnya itu tidak kesampaian apabila dia mengalami cedera parah di kepala akibat hentakan kuat dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurut sumber mangsa dikatakan berselisih faham dengan ibunya di ruang tamu dalam rumah kedai berkenaan sebelum bertindak terjun dari tingkap.

Kejadian itu berlaku sekitar jam 12.00 tengah malam dan dipercayai mangsa sebelum insiden berkenaan dalam pengaruh alkohol.

Sementara itu, ibu mangsa ketika ditemui semasa kejadian berkata sebelum insiden itu berlaku, dia dan anaknya berselisih faham.

“Selepas itu, dia (mangsa) memberitahu kepada saya ‘tolong jaga adik-adik saya pergi dulu’ sebelum meluru ke arah tingkap dan terjun,” katanya.

Akibat tindakannya itu, mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HUS kerana cedera parah di kepala. Polis sedang menjalankan siasatan terhadap kes tersebut. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan