Selasa, 14 Mei 2013

Mayat Lelaki Warga Emas Ditemui Terapung


LAWAS: Selepas tiga hari hilang di sungai, mayat seorang lelaki warga emas berusia 55, ditemui terapung dalam keadaan tertiarap oleh penduduk di sungai Kampung Seberang Kedai, Trusan Lawas di sini pagi semalam.

Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian dan berkasut ditemui penduduk kampung dan dimaklumkan kepada pihak bomba, selepas usaha mencari dan menyelamat dilancarkan empat hari bermula Jumaat lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Lawas Zaki Husin berkata, mayat mangsa ditemui jam 8.30 pagi dan diangkat ke perahu oleh anggotanya yang turut dibantu anggota polis pada jam 9.15 pagi.

“Sekitar jam 8.30 pagi mayat mangsa ditemui penduduk kampung dalam keadaan tertiarap dan masih lengkap berpakaian terapung di sungai tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mayata mangsa yang berbangsa Bugis dan mempunyai kerakyatan Malaysia itu dihantar ke bilik mayat Hospital Lawas semalam. Difahamkan, ahli keluarga mangsa dari Semenanjung Malaysia akan tiba di Lawas untuk menuntut mayatnya.

Zaki menjelaskan, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan bermula jam 3.06 petang Jumaat lalu diketuai Pegawai Bomba Kanan Masli Dollah bersama empat anggotanya selain bantuan daripada polis dan penduduk kampung.

Dalam kejadian jam 3 petang Jumaat lalu, mangsa dilaporkan lemas selepas perahu yang dinaiki bersama dua lagi rakannya karam kira-kira lima meter dari daratan sebaik menyeberangi sungai Kampung Seberang Kedai, Trusan, Lawas.

Menurut sumber, kedua-dua rakannya berjaya berenang ke daratan manakala mangsa yang tidak pandai berenang dihanyutkan arus deras. Mangsa yang bekerja sebagai buruh difahamkan sudah lama menetap di kampung berkenaan.

Dalam pada itu, Zaki berterima kasih kepada orang ramai kerana membantu pihaknya dalam operasi mencari dan menyelamat sejak empat hari lalu hingga berjaya menemui mayat mangsa pagi semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan