Isnin, 20 Mei 2013

14,000 Penduduk Rai Hari Bandar Raya Miri Ke-8

Taib melepaskan peserta ‘Green Ride’ sempena sambutan ulang tahun ke-8 Miri 

MIRI: Kira-kira 14,000 penduduk Miri berkumpul di Padang Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan berjalan di beberapa jalan utama di pusat bandar raya sempena sambutan Hari Bandar Raya Miri Kelapan, semalam.

Majlis sambutan yang bertemakan ‘Miri Bandar Raya Hijau’ itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan acara memotong kek di hadapan ribuan warga Miri yang memakai baju-T bewarna hijau.

Hadir sama isteri Taib Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan Datuk Bandar MBM Lawrence Lai, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Residen Miri Antonio Kahti Galis, kaunselor dan ketua-ketua kaum.

Selesai acara memotong kek, Taib dan tetamu jemputan lain melancarkan Ekspo Hijau diikuti dengan ‘Green Ride’ iaitu acara mengayuh basikal dan ‘Green Walk,’ acara berjalan di bandar raya Miri.

Sementara itu, acara kali ini begitu meriah dengan kehadiran orang ramai tanpa mengira usia berjalan memakai baju-T ‘Miri Bandar Raya Hijau’ sambil membunyikan hon sebagai tanda sokongan untuk menjadikan Miri bandar raya hijau.

Miri diisytiharkan sebagai bandar raya pada 20 Mei namun sambutannya pada tahun ini diawalkan kerana tahun ini tarikh tersebut jatuh pada hari bekerja.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan