Isnin, 13 Mei 2013

Ibu Dirompak Ketika Memasak


KUCHING: Hari Ibu yang sepatutnya disambut dengan gembira oleh seorang ibu bertukar menjadi cemas setelah rumahnya dimasuki dua individu yang tidak dikenali pagi semalam.

Beliau yang berumur 40 tahun dan merupakan seorang guru hanya menyedari kehadiran dua individu yang bertopeng dan bersenjatakan parang di dalam rumahnya setelah terdengar jeritan daripada anak-anaknya sewaktu dia sibuk menyediakan masakan tengah hari.

“Salah seorang suspek kemudiannya mengacu parang ke arah saya dan mengarahkan ketiga-tiga anak saya senyap,” ujar mangsa.

Mangsa kemudian merayu dalam ketakutan kepada suspek dalam usaha menyelamatkan anak-anaknya serta merelakan kedua-dua penceroboh tersebut mengambil apa sahaja barang yang ada di rumahnya.

“Saya berjaya melarikan diri bersama anak-anak melalui pintu belakang rumah setelah mengunci pintu dapur dan terus meminta pertolongan daripada jiran saya,” jelasnya.

Namun kedua-dua suspek tersebut telah berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Myvi berwarna hitam sejurus selepas jirannya tiba di rumah mangsa.

Mangsa melaporkan kepada polis mengenai insiden tersebut beberapa jam kemudian dan mengadu kehilangan kad pengenalannya, komputer riba, telefon bimbit, tablet, dua utas beg tangan dan kunci kereta jenis Alphard.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan