Selasa, 14 Mei 2013

Tujuh Suspek Kes Rompakan Bersenjata Ditangkap


MIRI: Polis Miri percaya dapat menyelesaikan satu kes rompakan bersenjata yang dilaporkan berlaku di Desa Senadin di sini baru-baru ini dengan tertangkapnya tujuh lelaki pada malam Ahad lalu dan awal pagi semalam.

Kesemua suspek yang berusia antara 20-an hingga 40-an itu ditangkap di empat lokasi berasingan di sekitar kawasan Permyjaya dalam satu serbuan polis yang bermula dari jam 11 malam pada Ahad lalu dan berakhir jam 3 pagi semalam.

Tangkapan ke atas mereka telah dibuat tiga hari selepas polis menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian tersebut.

Terdahulu menurut sumber, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8.30 pagi, 10 Mei lalu, tiga lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan parang telah masuk ke sebuah rumah di Desa Senadin di sini.

Mereka kemudian bertindak mengikat mangsa sebelum mengurungnya bersama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 11 dan 12 tahun di dalam sebuah tandas di rumah berkenaan.

Semasa kejadian, hanya mangsa dan dua anaknya berada di rumah sementara suaminya telah pergi bekerja.

Setelah mengambil beberapa barang berharga, perompak terbabit kemudian melarikan diri dengan memecut laju kenderaan jenis Toyota Fortuner milik mangsa yang diletakkan di hadapan rumah.

Bagaimanapun kenderaan terbabit telah dijumpai ditinggalkan berhampiran sebuah stesen minyak di kawasan Desa Senadin di sini.

Sementara itu, kesemua suspek yang ditangkap mengikut Seksyen 23 (1) (a) Kanun Prosedur Jenayah telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan