Selasa, 21 Mei 2013

Lelaki Ugut Ibu Kandung Dipenjara Seminggu

Gambar Hiasan

MIRI: Gara-gara mengugut ibu kandungnya, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret, di sini pagi semalam.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Mohd Izal Jamaludin, 27, dari Piasau Utara telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Norsiah Bahrin dengan mengeluarkan kata-kata ‘Kau ingat aku takut mahu pecahkan kepala kau’ sambil mengambil sekeping papan dengan niat hendak menakutkan mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3 pagi, pada 14 Mei lalu di sebuah rumah di Piasau Utara, di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan