Isnin, 20 Mei 2013

Wanita Dibelasah, Diheret Dan Ditolak Dari Jambatan


KUCHING: Seorang isteri nyaris maut selepas ditolak oleh suaminya dari sebuah jambatan selepas dia dikatakan enggan memberikan wang kepada suaminya itu, lewat petang kelmarin.

Mangsa, 30, juga dikatakan telah dibelasah oleh suaminya sebelum dia diheret ke jambatan tersebut yang terletak berhampiran Kampung Sungai Maong di sini, sekitar jam 6.30 petang.

“Saya telah dipukul serta diterajang olehnya di seluruh badan saya. Selepas itu, dia menarik rambut saya dan mengheret saya ke jambatan itu lalu menolak saya ke dalam sungai, tetapi nasib saya dapat menyelamatkan diri selepas itu,” katanya. Mangsa berkata demikian ketika membuat laporan polis berhubung kejadian pada hari yang sama.

Ekoran insiden itu, menurut mangsa, dia mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk mengalami calar di kaki serta lebam.

“Dia juga turut mencekik leher saya dan menampar muka saya beberapa kali dan akibatnya, saya mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat diheret dan sakit di seluruh badan dan kepala saya,” katanya lagi.

Menurut mangsa yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan, insiden tersebut bukan yang pertama kali berlaku.

“Ini bukan kali pertama dia berbuat sedemikian terhadap saya, malah dia juga pernah mengugut akan membunuh saya setiap kali kami bergaduh,” jelasnya.

Laporan polis telah dibuat oleh mangsa dan siasatan masih dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan