Selasa, 14 Mei 2013

Jom Raikan Bersama Hari Bandar Raya Miri

Lawrence menunjukkan baju ‘T’ Miri City Go Green

MIRI: Penduduk Miri diajak beramai-ramai hadir ke padang Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk meraikan bersama sambutan Hari Bandar Raya Miri Ke-8 pada hari Sabtu ini (18 Mei).

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijangka hadir merasmikan sambutan itu bermula jam 5.30 petang.

Datuk Bandar MBM Lawrence Lai memberitahu, perayaan itu bertemakan Miri City Go Green (Bandar Raya Miri Hijau) dengan program dimulakan dengan aktiviti berjalan kaki beramai-ramai dikenali Miri Green Walk.

“Seramai 14,110 orang telah mengesahkan penyertaan iaitu melebihi sasaran kami iaitu 8,000 orang,” katanya di sini semalam. Penyertaan teramai untuk aktiviti itu adalah daripada kalangan pelajar, pertubuhan bukan kerajaan dan penduduk kampung di sini.

Bermula jam 4 petang, pengunjung boleh menyaksikan demonstrasi seni mempertahankan diri iaitu silat dan yen chi serta persembahan pancaragam melibatkan gabungan lima sekolah iaitu SMK Chung Hua Miri, SMK St Columba, SMK St Joseph, SMK Riam dan SMK Lutong. Turut diadakan juga ialah tarian kardio.

Pelbagai produk dan perkhidmatan bertemakan hijau turut dipamer jual oleh 32 gerai dalam Ekspo Hijau.

MBM dengan kerjasama Persatuan Khidmat dan Jualan Komputer (CSSA) akan menganjurkan kempen kitar semula barangan elektronik yang bertujuan mempromosikan kepentingan amalan kitar semula di kalangan penduduk Miri.

Pelbagai barangan termasuk makanan dan minuman dijual pada Bazar Hari Bandar Raya Miri yang dianjurkan bersama oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan Persekutuan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Malaysia (FORUM).

Ketua Menteri juga diberi penghormatan untuk melepaskan peserta Green Ride iaitu aktiviti berbasikal beramai-ramai yang disertai seramai 300 orang pada hari tersebut.

Mereka akan berbasikal di sepanjang Jalan Melayu, Jalan China, melalui pasar ikan ke Jalan Bendahara, Jalan Merbau, Jalan Brooke, Jalan Kingsway dan kembali semula ke padang MBM.

“Kami turut menjemput penyanyi Misha Omar untuk menjayakan konsert mini sambutan Hari Bandar Raya Miri pada tahun ini.

“Penyanyi terkenal itu diterbangkan khas ke Miri oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina,” katanya.

MBM turut menganjurkan majlis makan malam Hari Bandar Raya Miri di Hotel Imperial pada sebelah malamnya. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan