MIRI: Tindakan seorang pemandu mabuk yang menimbulkan kekecohan di jalan raya dengan seorang lagi pemandu kereta yang lain, telah menyebabkan berlakunya kesesakan di jalan raya, sekali gus memaksa sepasukan polis dikerah ke tempat kejadian.
Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin di Jalan Pujut 7 itu, suspek yang berusia 30-an dan disyaki memandu kereta dalam keadaan mabuk dikatakan sengaja bertindak mengekori rapat di belakang sebuah kereta Perodua Alza dipandu seorang lelaki bersama isteri dan anaknya.
Menurut seorang saksi berusia 30-an yang enggan namanya didedahkan, keadaan menjadi bertambah tegang apabila beberapa minit kemudian suspek bersama rakannya tiba-tiba bertindak menunjukkan isyarat lucah terhadap pemandu terbabit.
Tindakan itu menyebabkan pemandu Perodua Alza terbabit membalas balik hingga berlaku insiden berbalas dengan menunjukkan isyarat sama antara kedua pihak selain suspek terus bertindak mengekori rapat dan cuba menghimpit kenderaan dipandu lelaki berkenaan.
“Bagaimanapun, ketika sedang menghampiri lampu isyarat sebuah simpang menuju ke Lutong, suspek tiba-tiba bertindak memecut keretanya lalu merempuh belakang kenderaan lelaki itu sebelum dia memberhentikan keretanya.
“Kemudian berlaku pertengkaran mulut antara kedua pihak dan ia sampai ke kemuncaknya apabila suspek bersama rakannya bertindak membelasah mangsa sehingga mengalami beberapa kecederaan di muka dan badan,” katanya.
Keadaan bertambah tegang apabila beberapa minit kemudian rakan kedua-dua pihak yang dihubungi sebelum itu datang masuk campur sehingga mencetuskan pergaduhan lebih 10 individu.
Kekecohan tersebut telah menyebabkan jalan raya bertambah sesak apabila orang ramai tidak dapat melalui laluan berkenaan dengan lancar.
Situasi itu juga memaksa Pasukan Polis Peronda (MPV) dengan bantuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dari Balai Polis Pusat Miri dikerah ke tempat kejadian untuk meredakan keadaan.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, akibat kejadian itu dua individu yang terbabit dalam pergaduhan itu dimasukkan ke Hospital Miri selepas dipercayai mengalami kecederaan parah, manakala enam individu berusia 30 hingga 40-an ditahan untuk membantu siasatan.
Katanya, setakat ini siasatan sedang dijalankan dengan mengambil keterangan daripada individu ditahan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan