Rabu, 22 Januari 2014

Bintulu Dilanda Banjir

SJK Cina Sibiew ditutup sebab paras air makin naik






BINTULU: Penduduk di bandar ini dalam keadaan berjaga-jaga berikutan paras air naik sejak subuh tadi. Beberapa batang jalan utama dan kawasan perumahan kelihatan ditenggelami air ekoran hujan lebat turun sejak semalam.

Pasukan bomba dan penyelamat juga kelihatan dalam keadaan bersedia menghadapi kemungkinan paras air semakin naik.

Pihak Bomba telah memindahkan seramai 500 orang di sekolah SJK Sebiew, Batu 5 dan 35 orang penduduk ke tempat yang selamat.

Agensi yang lain terlibat adalah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Bomba Sukarela Kemunting, Lembaga Sungai Sarawak dan Polis. - UB


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!






PATI Mula Ditahan Dalam Operasi Khas

205 ditahan oleh Jabatan Imigresen melibatkan pemeriksaan ke atas 495 warga asing

KUCHING: Seramai 205 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan oleh Jabatan Imigresen sempena Ops Bersepadu 6P Fasa Kedua yang dijalankan serentak di seluruh negeri semalam.

Jurucakap Jabatan Imigresen berkata, operasi tersebut yang bermula dari jam 12 tengah malam di Kuching, Sibu, Miri, Limbang dan Bintulu melibatkan pemeriksaan ke atas seramai 495 warga asing menerusi 22 operasi.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi (semalam), sebanyak 22 operasi dijalankan serentak iaitu di Kuching (16), Sibu (1), Bintulu (3) dan Miri (2) dengan memeriksa seramai 495 warga asing.

“Daripada jumlah tersebut seramai 205 orang telah ditangkap kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di Bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Manakala 290 warga asing lagi dibebaskan kerana didapati mempunyai pas yang sah untuk tinggal serta bekerja di negeri ini.

“Daripada jumlah tangkapan itu, warganegera Indonesia seramai 177 orang, Filipina tujuh orang, Pakistan seorang dan warganegara lain seramai 20 orang.

“Mereka ditangkap dari pelbagai sektor yakni sektor pembinaan, perkhidmatan, perkilangan dan lain-lain,” katanya sambil menambah operasi tersebut turut disertai anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru menurut beliau, kesemua yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Semujan, Serian dan Bekenu, Miri serta lokap tahan polis sementara siasatan lanjut dijalankan.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Hamfatullah Syawal Hamdan, operasi di seluruh negeri itu akan dijalankan bagi tempoh tiga bulan bermula semalam.

“Pemeriksaan akan dijalankan ke atas setiap warga asing yang bekerja di Sarawak untuk memastikan mereka tidak melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen,” kata Hamfatullah kepada pemberita.

Antara pelbagai kesalahan yang dipantau oleh jabatan itu adalah visa tamat tempoh, permit kerja tamat tempoh atau permit kerja yang tidak selari dengan syarikat di mana mereka bekerja sekarang.


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!






Tinggal Seorang Mangsa Tragedi Bot Karam Belum Ditemui

Operasi mencari mangsa bot karam

MUKAH: Persekitaran perairan Sungai Kut dan Saai masih belum tenang berikutan seorang lagi mangsa tragedi bot karam di Batang Lassa belum ditemui.

Pasukan keselamatan akan meneruskan operasi mencari mangsa terakhir, Mahdani Akim, 55, hari ini setelah operasi ditamatkan lewat petang semalam. Difahamkan, kesukaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat adalah keadaan air sungai yang agak keruh.

Namun, perkara tersebut tidak menghalang pasukan keselamatan untuk menjalankan operasi bermula jam 7 pagi semalam dan pada jam 9.02 pagi, mereka menemui mayat mangsa kesepuluh.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Ibong Rais, 60, dijumpai di antara Teluk Gelegai dan Tanjung Bubus, kira-kira tujuh kilometer dari pusat operasi pasukan keselamatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Daro.

Setakat ini, mangsa yang telah dijumpai sejak 18 Januari ialah Sakiah Kipli, 49, Mirah Morni, 54, Melati Jeree, 58. Manakala mangsa yang dijumpai pada 19 Januari ialah Nursiah Abdullah, 44.

Hari ketiga operasi berjaya menemui lima mangsa iaitu Naibi Saibi, 53, Bolhan Berdan, 67, Kalsom Mat, 53, Riji Dalol, 64, dan Abu Bakar Mahli, 66.

Dalam kejadian 1 tengah hari Sabtu lepas, sebuah bot panjang yang membawa 27 penumpang terbalik selepas dipukul ombak besar.

Ketika kejadian bot panjang itu membawa penumpang berusia lingkungan 23 hingga 69 tahun dari Kampung Tekajong dalam perjalanan pulang ke kampung mereka selepas menghadiri majlis perkahwinan.


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!






Gadis Dakwa Dirogol Lelaki Bertopeng

Gambar Hiasan

SIBU: Seorang gadis berumur 19 tahun yang tinggal di Jalan Indah di sini dipercayai menjadi mangsa rogol oleh seorang lelaki bertopeng awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa berseorangan di dalam bilik tidurnya terjaga selepas terdengar bunyi bising. Menyangka ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sudah balik, gadis tersebut terus membuka bilik tidurnya.

Ketika berdiri di depan pintu, mangsa ternampak seorang lelaki berbadan kurus dan bertopeng bertindak menolaknya ke atas katil.

“Mangsa yang cuba melawan menyebabkan lelaki itu memukulnya dengan gelas menyebabkan mangsa mengalami luka di bahagian kepala dan lengannya,” menurut sumber.

Lelaki itu kemudian bertindak menanggalkan pakaian mangsa dan memperkosanya. Selepas memuaskan nafsunya, lelaki tersebut terus melarikan diri dan meninggalkan mangsa yang masih terbaring menahan kecederaan.

Mangsa kemudiannya menghubungi seorang rakan yang tiba di rumahnya untuk membawanya ke Hospital Sibu mendapatkan rawatan.

Ayah mangsa hanya dimaklumkan mengenai apa yang berlaku selepas pulang dari tempat kerja dan mendapati anak gadisnya tiada di rumah pada jam 6 pagi.

Ayahnya yang sudah berpisah dengan isterinya, terus menghubungi mangsa dan dimaklumkan mengenai insiden tersebut. Mangsa kemudiannya diiringi oleh ayahnya ke Balai Polis Sentral membuat laporan polis pada sebelah petang hari sama.

Ketika kes dalam siasatan mangsa dan ayahnya diarahkan tinggal bersama saudaranya buat sementara untuk membolehkan polis menjalankan siasatan kes.

Petang semalam, polis forensik pergi ke rumah mangsa untuk menjalankan siasatan lanjut.


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!






Polis Berjaya Cekup Suspek Kes Bunuh

Beberapa anggota polis membawa suspek masuk ke balai untuk siasatan lanjut

KUCHING: Suspek kes bunuh seorang lelaki warga Indonesia yang ditemui mati di sebuah rumah kebun di Kampung Semaba, di sini Isnin lepas berjaya ditahan polis untuk siasatan lanjut semalam.

Lelaki tersebut yang juga rakan senegera mangsa ditahan pihak polis di rumah sewanya di Laruh Skim, Gita oleh sepasukan anggota polis yang diketuai ASP Naazron Abdul Yusof sekitar jam 10.20 pagi.

Selain itu, pihak polis turut menemui sebuah motosikal jenis Yamaha dipercayai dicuri oleh suspek untuk melarikan diri dari tempat kejadian selepas insiden tersebut berlaku.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Pauzi Bujang yang mengesahkan tangkapan tersebut memberitahu suspek berasal dari Sebujit, Kalimatan Barat dan akan direman serta disiasat di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek dikatakan telah membunuh mangsa yang dikenali sebagai German Lumpen, 27, di sebuah rumah kebun di Kampung Semaba, di Jalan Haji Baki dipercayai berpunca dari perselisihan faham. - UTUSAN BORNEO


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!






Rumah Wanita Musnah Dijilat Api

Api marak menjilat rumah milik Siti Zulaihi dalam kejadian kebakaran di Kampung Hilir Sri Aman

SRI AMAN: Sebuah rumah di Kampung Hilir di sini musnah dijilat api dalam kebakaran sekitar jam 8.30 malam kelmarin. Pemilik rumah Siti Zulaiha Rabbie, 41, yang tinggal bersama adiknya semasa kejadian dikatakan tiada berada di rumah.

Berikutan kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman menghantar sebuah jentera pemadam kebakaran bersama enam anggotanya ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan dari bilik gerakan di Kuching pada jam 8.39 malam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman berkata, anggotanya tiba di tempat kejadian jam 8.51 malam dan berjaya memadam sepenuhnya pada jam 9.25 malam.

“Rumah mangsa musnah kira-kira 80 peratus dalam kejadian itu, bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya di sini semalam.

Seramai empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dengan enam anggota polis turut terlibat mengawal kejadian.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sri Aman, Azhar Mohammad dilaporkan turut turun padang bagi memantau operasi memadam api kebakaran berkenaan.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu. - UTUSAN BORNEO


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!






Lelaki Ditemui Mati Tersepit Di Lif Kargo

MAUT: Keluarga mangsa melihat mayat mangsa sebaik sahaja tiba di HUS semalam

KUCHING: Seorang lelaki ditemui mati tersepit di lif kargo sebuah kedai perkakasan di Pusat Komersial Stutong di sini, petang semalam.

Menurut sumber, mangsa iaitu Benedict Juan Christhoper, berusia 18 tahun pada mulanya menggunakan lif tersebut untuk mengambil barang di tingkat atas bangunan kedai berkenaan sekitar jam 3 petang.

“Bagaimanapun, mangsa dikatakan mengambil masa yang agak lama menyebabkan seorang daripada rakannya kemudian mencari mangsa dan terkejut apabila menemui mangsa dalam keadaan tersepit di antara lif dan siling bangunan itu,” kata sumber.

Mangsa yang dipercayai mengalami patah tulang leher disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Hasil pemeriksaan awal ke atas mayat mangsa menemui kesan lebam pada lehernya dipercayai akibat tersepit di antara lif serta siling bangunan tersebut.

“Selain itu, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian,” Kata seorang jurucakap polis yang ditemui di tempat kejadian.

Mayat mangsa yang tersepit itu telah berjaya dikeluarkan oleh beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat. - UTUSAN BORNEO


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!








PATI Yang Ditahan Haram Masuk Malaysia

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Operasi Bersepadu (6P) Fasa 2 di seluruh negara yang bermula tengah malam tadi akan diusir ke negara asal dalam tempoh tujuh hari.

Mengumumkan demikian, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengusiran mereka tidak akan ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

“Penghantaran mereka akan ditanggung oleh pihak kedutaaan dan majikan masing-masing,” katanya kepada pemberita di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata PATI yang ditahan akan disenarai hitam dengan identiti mereka direkodkan dalam sistem bank data biometrik bagi memastikan mereka tidak kembali ke negara ini.

Beliau berkata seramai 1,565 PATI ditahan dalam 107 operasi di seluruh negara melibatkan 695 rakyat Indonesia, 255 Bangladesh, 157 Myanmar dan selebihnya rakyat Kemboja, Vietnam, India, Pakistan, Filipina, China, Nigeria dan Thailand.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) (ATIP SOM).

“Operasi Bersepadu Fasa 2 bersama agensi-agensi berkaitan akan dilaksanakan secara berterusan sehingga hujung tahun untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga negara asing,” katanya.

Beliau berkata operasi itu melibatkan 2,015 anggota penguatkuasa pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen, Rela, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - BERNAMA


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!