Isnin, 20 Januari 2014

Lelaki Mengejar Peragut Parah Ditikam Di Rusuk

Gambar Hiasan

MIRI: Seorang lelaki yang berjaya mengejar seorang peragut, mengalami kecederaan di rusuk kirinya selepas ditikam oleh suspek yang diburunya menggunakan sebilah pisau yang popular digelar pisau Rambo.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Hobin Siwvoo, 41, dan bekerja di bahagian mengemas bilik di sebuah hotel di sini, terpaksa menerima 16 jahitan akibat luka tikaman tersebut.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari semalam, mangsa bersama isterinya, Sunta Atok, 42, dan tiga anaknya hendak pergi makan tengah hari di sebuah kedai makan berhampiran hotel, tempat mangsa bekerja apabila mereka tiba-tiba terdengar teriakan meminta tolong.

Menurut isteri mangsa, teriakan meminta tolong tersebut hanya beberapa blok sahaja jaraknya dari mereka menyebabkan suaminya dan beberapa pelanggan lelaki yang lain di kedai tersebut turut pergi ke arah suara meminta tolong berkenaan.

Menyedari teriakan meminta tolong seorang wanita yang baharu sahaja diragut beg tangannya oleh seorang peragut, mangsa dan pelanggan lelaki yang lain cuba membantu.

Menurut sumber, mangsa berjaya mendapatkan peragut berkenaan. Bagaimanapun, ketika berlaku pergelutan antara kedua-dua mereka, peragut tiba-tiba menikam pisaunya ke arah mangsa yang kemudian terkena rusuk kirinya manakala suspek terbabit lalu melarikan diri.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut dan laporan polis berhubung insiden sudah dibuat di Balai Polis Pusat Miri di sini.

Sementara itu, Sunta memberitahu, suaminya sepatutnya bertugas kerana membantu membuat persiapan untuk menyambut ketibaan Yang di-Pertua Negeri, yang mengadakan lawatan ke sini, hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan