Selasa, 14 Januari 2014

Inisiatif Salur BR1M Menerusi Akaun Bank Disokong



MIRI: Inisiatif yang diambil kerajaan untuk menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menerusi akaun bank penerima mendapat maklum balas baik daripada orang awam.

Penghulu Kampung Piasau Utara Samion Ghani berkata usaha kerajaan itu dilihat membantu menjimatkan masa penerima terutama warga emas daripada beratur panjang.

“Saya melihat inisiatif ini dapat membantu warga emas kerana mereka tidak lagi perlu beratur panjang sebaliknya hanya perlu membuka akaun bank jika belum memilikinya,” katanya di sini semalam.

Samion berkata berbanding pengagihan BR1M 1.0 dan 2.0 sebelum ini, warga emas ditempatkan di satu kaunter khas namun ia tetap menimbulkan beberapa masalah lain.

“Ada di kalangan penerima berebut untuk mendapatkan wang tunai di kaunter warga emas hingga menyebabkan kacau-bilau namun jika disalurkan dalam akaun, ia lebih memudahkan,” jelasnya.

Pada masa sama, inisiatif yang diambil kerajaan itu turut membantu penerima menjimatkan masa kerana sebelum ini bantuan berkenaan turut diagihkan pada waktu bekerja.

“Sehubungan itu, mereka tidak perlu lagi pergi ke dewan masyarakat atau sebagainya untuk menuntut wang BR1M sebaliknya terus mengambil wang berkenaan daripada akaun bank masing-masing,” jelasnya.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika dipetik berkata kerajaan akan menyalurkan bantuan itu ke akaun penerima bagi mengelak mereka beratur panjang.

Penerima katanya diminta memaklumkan nombor akaun mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jika belum berbuat demikian sebelum 31 Januari bagi proses pembayaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan