Sabtu, 11 Januari 2014

Lima Suspek Ditangkap, Polis Rampas Barang Curi RM35,000

Gambar Hiasan

MIRI: Polis Miri berjaya menyele­saikan sekurang-kurangnya empat kes pecah rumah dan curi dengan tertangkapnya lima suspek dan merampas pelbagai barang curi dianggarkan bernilai RM35,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Piasau Jaya di sini petang Rabu lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Miri, DSP Nixon Joshua Ali berkata daripada jumlah suspek yang ditangkap, empat merupakan pelaku manakala se­orang lagi pembeli barang curi.

“Semua suspek berusia antara 22 hingga 40 tahun dan tiga dari­padanya berketurunan Melayu, manakala dua masing-masing Iban dan Cina,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, kelima-lima sus­pek ditangkap dalam satu serbuan di sebuah rumah di Piasau Jaya di sini sekitar jam 4.20 petang, Rabu lalu oleh sepasukan polis diketuai Inspektor Nagulan Maniam dari Balai Polis Pusat Miri.

Tangkapan ke atas mereka dibuat kerana dipercayai terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan berlaku di kawasan Piasau sejak beberapa bulan lalu.

Polis kemudian membuat pemeriksaan lanjut dalam rumah berkenaan merampas pelbagai barang dipercayai harta curi sep­erti sebuah motosikal, lima unit komputer riba, telefon bimbit, but keselamatan, barangan elektrik dan juga pakaian yang kesemuanya di­anggarkan bernilai RM35,000.

“Hasil soal siasat awal polis, keempat-empat suspek akhirnya mengaku melakukan 10 kes pecah rumah dan curi di kawasan Piasau sejak pertengahan 2013.

“Daripada 10 buah rumah yang dipecah masuk, hanya empat pemi­lik membuat laporan polis. Ini ber­makna polis menyelesaikan empat kes dengan tertangkapnya semua suspek terbabit,” ujarnya sambil menambah berikutan itu polis membawa suspek-suspek terbabit pergi semula ke semua rumah yang pernah dipecah masuk.

Sehubungan itu, beliau menasi­hatkan enam pemilik rumah yang lain supaya tampil ke Balai Polis Pusat Miri untuk membuat penge­caman terhadap barang-barang yang telah dirampas.

Menurut Nixon, hasil siasatan polis mendedahkan modus operan­di sindiket ini bergerak aktif sejak enam bulan lalu dengan memantau semua rumah ditinggalkan kosong selama beberapa hari dijadikan sasaran sebelah malam.

“Suspek juga mengaku semua kes pecah rumah yang dilaku­kan mereka hanya tertumpu di kawasan Piasau sahaja,” katanya sambil memberitahu semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Hadir sama pada sidang media itu Ketua Balai Polis Pusat Miri, Inspektor Nagulan Maniam dan ASP Soliment Nyian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan