Ahad, 12 Januari 2014

Gelombang Kedua Banjir Diramal Hujung Bulan Ini


SIBU: Gelombang kedua banjir dijangka melanda Sibu hujung bulan ini, iaitu sebelum dan semasa sambutan Tahun Baharu Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Bahagian Sibu, Sim Kok Kee berkata banjir dijangka berlaku pada masa itu disebabkan kejadian air pasang besar.

“Banjir mungkin berlaku hujung bulan ini jika cuaca buruk atau hujan lebat berterusan,” katanya apabila ditanya mengenai gelombang kedua banjir mungkin melanda daerah ini.

Terdahulu, Sim ditemui ketika Program ‘Walk-A-Mile’ anjuran Pejabat Residen Bahagian Sibu di Dataran Bandar Sibu, semalam.

Kejadian air pasang besar dijangka bermula pada 29 Januari dengan paras 5.7 meter, sebelum mencecah paras tertinggi 6.4 meter pada 1 Februari iaitu semasa hari kedua sambutan Tahun Baharu Cina.

Sim yang juga Residen Bahgian Sibu memberitahu, situasi banjir di Sibu secara keseluruhan telah pulih kecuali beberapa kawasan di Kampung Sentosa.

“Kebanyakan tempat lain air telah mula surut,” katanya sambil menambah banjir kilat yang melanda bandar ini disebabkan hujan lebat yang turun berterusan.

Beliau juga berkata, banjir yang melanda baru-baru ini tidak seteruk banjir berlaku beberapa tahun lalu.

Ditanya mengenai sekolah yang masih ditutup akibat banjir, Sim memberitahu hanya sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bon masih ditutup sehingga kelmarin.

“Sebuah lagi sekolah iaitu SK Sungai Salim dibuka beberapa hari lalu. Kita berharap air akan surut agar sekolah masih ditutup dapat dibuka minggu depan,” jelas beliau.

Bilik operasi banjir juga masih dibuka sehingga semalam dan sekiranya cuaca bertambah baik minggu depan, bilik operasi ini kemungkinan akan ditutup sementara.

“Namun, jika keadaan cuaca buruk berterusan bilik operasi banjir akan terus dibuka bagi menghadapi gelombang kedua banjir pada hujung bulan ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan