Selasa, 7 Januari 2014

Aktiviti Perikanan Terjejas Teruk

BAIKI PUKAT: Anak-anak kapal nelayan menggunakan masa terluang untuk membaiki pukat yang rosak

KUCHING: Aktiviti penangkapan ikan dan hasil laut lain oleh nelayan di Kampung Goebilt, Muara Tebas dekat sini terjejas teruk berikutan cuaca hujan serta laut bergelora sejak awal Disember 2013.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan para nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan malah turut memberi kesan kepada peraih dan pemborong ikan serta hasil laut lain.

Menurut seorang peraih yang ditemui di kampung itu semalam, sejak bermulanya musim tengkujuh seawal bulan Disember 2013 yang lalu, hasil tangkapan nelayan turun dengan mendadak berbanding biasa.

Kebiasaannya menurut Mohd Sharul Sahari, 30, syarikatnya mampu memperolehi pendapatan sekitar RM2,000 sehari hasil jualan ikan dan hasil laut lain yang diraih daripada para nelayan.

“Ketika musim tengkujuh hasil jualan kami turun dengan mendadak dan hanya mampu memperolehi sekitar RM800 sehari disebabkan hasil tangkapan yang jauh berkurangan daripada para nelayan berbanding ketika cuaca baik.

“Tidak hanya kami sebagai peraih yang terjejas, begitu juga dengan para nelayan di mana mereka hanya mampu memperolehi sekitar RM250 sehari berbanding RM700 hingga RM800 ketika cuaca baik,” katanya.

Sharul berkata demikian ketika ditemui di jeti pemunggahan hasil tangkapan ikan dan laut bagi Syarikat Pemborong Lapok yang diusahakan oleh keluarganya di kampung berkenaan semalam.

Tambah Sharul, keadaan ini mungkin akan berlarutan sehingga bulan Mac dan sepanjang tempoh itu para nelayan hanya perlu bersabar dan pada masa yang sama berhati-hati ketika turun ke laut untuk menangkap ikan.

Bagi menampung kerugian yang ditanggung oleh para nelayan dan peraih ikan, harga ikan menurut Sharul dibeli dan dijual pada kadar yang tidak menentu bergantung kepada hasil tangkapan serta keadaan semasa.

“Meskipun hasil tangkapan laut berkurangan tetapi kami tidak boleh menaikkan harga sesuka hati tetapi jika perlu ia akan dinaikkan.

“Misalnya ikan kembung kami beli pada harga RM8.00 sekilo daripada nelayan dan menjualnya pada harga RM9.00 atau RM9.50 sekilo kepada pemborong,” tambah Sharul.

Dalam pada itu, para nelayan yang tidak dapat turun ke laut pada musim tengkujuh menggunakan masa terluang untuk membaiki peralatan tangkapan ikan masing-masing.

Antara hasil ikan yang terkenal di Kampung Buntal ialah lumek, gelama, bulu, bawal hitam, tenggiri, siakap, tongkol, pari, udang galah, udang biasa dan sebagainya.

Pada kebiasannya, aktiviti menjual ikan segar di sini akan bermula pada jam 1 atau 2 petang tetapi ketika musim tengkujuh nelayan tiba awal dari laut iaitu antara jam 8 pagi hingga 10 pagi. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan